Artikel

Langkah awal beri manfaat

ANWAR ketika menyambut kedatangan Xi Jinping yang dalam rangka lawatan ke Malaysia.
- Diterbit 19 April 2025 11:00 AM MYT
Oleh ZULKIFLI SULONG

SELEPAS
 lebih 10 tahun, Presiden China, Xi Jinping mengunjungi Malaysia baru-baru ini. Ia merupakan lawatan bersejarah buat Malaysia dan China.

Kunjungan Presiden Xi ke Malaysia sudah tentu mendapat perhatian dunia kerana China kini berdepan secara langsung dalam apa yang dikatakan perang tarif dengan Amerika Syarikat (AS).

Ketika China berperang tarif dengan Amerika, tiba-tiba presidennya melawat Malaysia, Pengerusi ASEAN, sebuah pertubuhan serantau yang kini semakin berpengaruh.

Selain Malaysia, Presiden Xi juga melawat Vietnam dan Kemboja, dua negara yang teruk dikenakan tarif oleh AS.

Namun tidak sebagaimana China, AS memberikan tiga bulan lagi untuk melaksanakan tarif timbal balik yang dikenakan kepada negara-negara lain selain China.

Presiden China sudah tentu ada agendanya tersendiri ketika membuat keputusan melawat Malaysia. Namun bagi Malaysia, lawatan Presiden Xi sudah diatur lama sebelum perang tarif dengan AS berlaku.

Lawatan rasmi Xi ke Malaysia selama tiga hari bermula Selasa, 15 April hingga Khamis, 17 April, tiada kaitan dengan isu kenaikan tarif oleh AS.

Ia dijelaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika ditanya mengenai lawatan ini.

Beliau berkata lawatan berkenaan sudah lama dirancang dan bukan satu kunjungan mengejut seperti yang dispekulasikan sesetengah pihak.

“Setiap lawatan pemimpin besar seperti ini tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya ia disusun rapi beberapa bulan lebih awal.

“Lawatan ini tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu tarif yang timbul baru-baru ini.

“Ketika lawatan ini dirancang, kita tidak menjangkakan isu tarif akan menjadi topik hangat, maka jangan tafsirkan kunjungan ini dalam konteks yang tidak tepat,” katanya.

Kenapa begitu? Ini adalah kerana Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dan tidak terikat dengan mana-mana kuasa dalam menentukan tindakan dan dasar luarnya.

Lihat cara Malaysia bertindak dalam menguruskan isu tarif dengan Amerika. Ia berbeza dengan China kerana kita tidak terikat dengan mana-mana kuasa besar.

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan untuk tidak tergesa-gesa mengambil tindakan balas terhadap pengumuman tarif oleh Presiden Donald Trump telah memberikan hasil yang baik.

Ini memberikan gambaran bahawa pemimpin Malaysia khasnya Perdana Menteri mempunyai wisdom dan kebolehan yang tinggi dalam menguruskan negara dan juga hubungan antarabangsa.

Baru-baru ini pentadbiran Trump mengumumkan Malaysia antara negara-negara yang akan dikenakan tarif asas 10% sahaja selama tiga bulan bersama negara-negara lain berbanding dengan China yang dikenakan tarif 104% sebagai tindak balas.

Perdana Menteri telah menghabiskan hampir satu hari penuh untuk berbincang dengan pelbagai pihak bagi membincangkan tindakan Trump mengenakan tarif tindak balas 24% ke atas Malaysia.

Ia berlaku sebaik sahaja Trump mengumumkan tarif itu.

Selain pegawai kanan kerajaan, Perdana Menteri juga berbincang dengan semua rakan sejawatnya dari negara-negara ASEAN bagi membolehkan tindakan bersama diambil.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah terbang ke Malaysia bagi berbincang secara langsung dengan Anwar tentang isu ini.

Hasil perbincangan itu, Malaysia memutuskan untuk terus berunding dengan AS bersama dengan negara-negara ASEAN lain.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul mengumumkan Malaysia akan mencari rakan dagangan baharu untuk menjual barangan Malaysia selepas menghadapi masalah tarif dengan AS.

Kementerian dikemudinya menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan New Zealand sebanyak 50 peratus dengan nilai anggaran berjumlah RM25.67 bilion menjelang 2030.

Tengku Zafrul berkata kerjasama antara Malaysia dan New Zealand sudah lama terjalin, diperkukuhkan lagi dengan taraf Perkongsian Strategik sejak 2023 dan lawatan Perdana Menteri New Zealand tahun lepas.

Sementara itu, langkah Malaysia mendapatkan pasaran baharu untuk eksport dialu-alukan oleh pemain industri kewangan dan ekonomi.

Mohd Yusri Yusof, rakyat Malaysia yang kini berkhidmat di Dubai dalam bidang kewangan Islam antarabangsa menyokong penuh langkah Malaysia untuk membentuk pakatan lebih mampan dengan negara-negara ASEAN.

“Talian hayat yang ada pada Malaysia adalah perdagangan di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dalam kalangan negara-negara ahli, ASEAN FTA dengan China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

“Juga Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan lima rakan ekonomi baharu itu termasuk New Zealand,” kata Yusri.

Menurut beliau dalam masa terdekat New Zealand dilihat akan liberalisasikan kemasukan pakar tenikal dari luar bagi menjana peluang pekerjaan ekoran ekonomi mereka agak terkesan sebelum isu tarif lagi selari dengan apa yang dilakukan Kanada sekarang.

“Ekspatriat akan berbondong-bondong ke negara-negara ini tidak lama lagi,” kata Yusri.

Jadi jelas, walaupun kita terima lawatan Presiden China, kita tidak terikat dengan China bahkan rakan dagang utama Malaysia adalah tetap AS.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas