PROGRAM Langgok Kacau Dodol Vaganza 2025, anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Hulu Langat di bawah kepimpinan Ahli Parlimen Mohd Sany Hamzan, telah berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya di Hulu Langat, Selangor, pada 22 Mac lalu.
Sebanyak 50 kawah dodol telah dikacau serentak oleh 750 peserta, terdiri daripada wakil NGO, penduduk kampung serta agensi kerajaan.

Program bermula pada jam 4.30 petang hingga 11 malam, dengan acara kemuncak iaitu pengagihan 3,000 bungkus dodol kepada orang ramai yang dimulakan sekitar jam 10 malam.
Mohd Sany yang juga Timbalan Pengerusi Tekun Nasional berkata, pihaknya merakamkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan penganjuran program itu.
“Program Langgok Kacau Dodol Vaganza 2025 berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan. Program ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya dan keunikan warisan tempatan, malah mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta gotong-royong dalam kalangan masyarakat Hulu Langat.
“Program ini juga menjadi platform untuk mendidik generasi muda mengenai nilai budaya serta pentingnya amalan tradisional dalam kehidupan masyarakat.
“Kehadiran peserta dari pelbagai peringkat umur, dari kanak-kanak hingga golongan dewasa, membuktikan bahawa warisan ini masih relevan dan dekat di hati rakyat,” katanya.

Menurutnya, program ini bukan sahaja berjaya memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat tetapi juga menjadi platform untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda.
“Kehadiran peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak hingga golongan dewasa, membuktikan bahawa warisan tradisi seperti ini masih mendapat tempat di hati rakyat.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sudah bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini.
“Semoga tradisi kacau dodol terus diwarisi dan dipertahankan sebagai simbol budaya serta alat penyatuan masyarakat,” katanya.

Kemuncak program ini adalah perasmian rasmi oleh Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Hajjah Aiman Athirah Sabu.
Kehadiran beliau menyerikan lagi program serta menzahirkan komitmen kerajaan dalam menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pemeliharaan warisan tradisi. – WILAYAHKU