Berita

Landasan terbaik capai sasaran belanjawan

- Diterbit 16 Jun 2025 6:13 PM MYT

PENGURANGAN defisit fiskal Kerajaan Persekutuan kepada RM21.9 bilion pada akhir Mac lalu, berbanding RM26.4 bilion akhir Mac 2024, jelas menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan berada pada landasan yang baik.

Malah trend sedemikian juga membolehkan kerajaan mencapai sasaran defisit 3.8 peratus (%) untuk tahun ini, seterusnya 3.5% pada 2027.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata defisit itu berjaya dicapai walaupun Belanjawan Negara 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu adalah yang terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM421 billion.

AIMI

“Pengurangan defisit menunjukkan kerajaan berjaya mengimbangkan perbelanjaan melalui dasar fiskal yang mengembang untuk terus menaikkan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan pada masa sama memastikan hutang negara berjaya dikawal.

“Kerajaan juga berjaya memastikan pentadbiran dan urusan kewangan ditadbir dengan berkesan untuk mencapai sasaran belanjawan.

“Dasar kerajaan seperti mengurangkan subsidi pukal dan memperkenalkan subsidi bersasar seperti diesel dan keperluan yang lain jelas tercapai dan dilakukan dengan berkesan,” katanya.

Menurut beliau pembaziran belanjawan juga dititikberatkan kementerian-kementerian supaya pelaksanaan dasar kerajaan tepat dan efisien.

“Walau bagaimanapun, ketidaktentuan ekonomi dunia memberi kesan besar kepada sektor eksport negara terumatanya sektor pembuatan seperti elektrik dan elektronik, sarung tangan, mesin serta minyak sawit,” katanya.

Selain itu jelas beliau penurunan harga minyak mentah juga bermakna pendapatan kerajaan melalui Petronas turut terjejas untuk tahun 2025 ini.

“Begitupun penyelesaian pengaturcaraan Petronas dan Petros yang baru diselesaikan Perdana <enteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, minggu lalu sedikit sebanyak memberi nafas kelegaan kepada ekonomi negara dan sektor minyak dan gas khususnya,” katanya.

Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 yang berkurangan kepada RM21.9 bilion didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion ekoran kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.

Jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas