Fokus

Lahir 140,000 huffaz cilik 2026

- Diterbit 23 Oktober 2024 11:17 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sentiasa melakukan evolusi dan penambahbaikan terhadap institusi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) sepanjang 62 tahun penubuhannya demi kecemerlangan pendidikan kanak-kanak di negara ini.

Dengan slogan Low Cost, High Impact, KEMAS terus bergerak ke hadapan supaya TABIKA KEMAS sentiasa relevan untuk masyarakat, dikenali dan menjadi yang terbaik.

Bersesuaian dengan peredaran zaman, KEMAS komited memberi yang terbaik untuk anak bangsa dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan dan transformasi di seluruh negara.

Terbaharu, menyedari pendidikan Al-Quran teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak yang beragama Islam selain kemahiran sedia ada yang diperlukan, KEMAS memperkenalkan Program Pra Tahfiz.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Ibu Pejabat, Siti Norziana Abdul Karim berkata TABIKA Pra Tahfiz KEMAS adalah program memperkasakan lagi pendidikan Al-Quran di TABIKA KEMAS seluruh negara.

“Program ini juga memberi nilai tambah kepada modul sedia ada iaitu Modul Penghayatan Islam (PPI) merangkumi aspek pendidikan
Al-Quran untuk melahirkan huffaz cilik.

“KEMAS memang sudah ada modul PPI yang dilaksanakan pada tahun 2017 memfokuskan kepada dua iaitu fardu ain dan pembacaan Al-Quran. Namun menerusi Program Pra Tahfiz ini, ia dapat memperkukuhkan lagi modul yang sedia ada.

“Program ini memfokuskan kepada menghafaz juzuk 30 termasuk surah dalam juzu’amma dan surah pilihan dalam juzuk 30 dengan bacaan (qiraat) adab dan tadabbur.

“Dalam pada itu, program ini juga adalah salah satu game changer dalam memperkasakan pendidikan Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia yang akan memberi fokus kepada 7M iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi,” ujarnya.

Menurutnya, pembentukan umat penghafaz Al-Quran boleh membawa impak kepada pembangunan modal insan serta kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

Hal ini katanya, bersesuaian dengan objektif Program Pra Tahfiz diperkenalkan yang mana pertama bukan saja mahu menggalakkan jiwa cintai Al-Quran disemaikan di awal usia tetapi mahu anak-anak ini mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Program ini diperkenalkan untuk melahirkan lebih ramai huffaz (hafiz dan hafizah) yang mahir dalam pembacaan dan pengajian ilmu Al-Quran serta pengajian Islam bagi memelihara kesucian Al-Quran sekali gus melahirkan lebih 100,000 huffaz cilik menjelang 2026.

“Di samping itu, ia juga bertujuan menyediakan alternatif kepada ibu bapa untuk mencorak pendidikan anak dalam pendidikan Al-Quran.

“Selain memfokuskan kepada anak-anak, program ini juga memberi kesan berganda kepada ibu bapa kerana secara tidak langsung apabila anak membuat hafazan di rumah, ibu bapa akan terbabit sama. Jika anak-anak sudah pandai dan menghafaz 16 surah dari juzuk 30, ia pasti menjadi cabaran kepada ibu bapa sekali gus mereka akan turut sama menghafaz surah berkenaan,” ujarnya.

TINGKAT KUALITI PENDIDIKAN

Beliau berkata program tersebut merupakan antara Hala Tuju Strategik (HATS) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tahun 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan pendidikan
Al-Quran kepada kanak-kanak seawal usia.

“Justeru, dalam pelaksanaan program ini, pengurusan tertinggi KKDW dan KEMAS khususnya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melaksanakan kolaborasi dengan Yayasan Pahang.

“Pengisian Modul Pra Tahfiz KEMAS ini merujuk sepenuhnya Modul Hafazan TADIKA Tahfiz Negeri Pahang dengan teknik hafazan dan kaedah pembelajaran secara fun learning yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah.

“Memandangkan pelaksanaan modul bagi program ini juga nilai tambah kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tambahan masa sejam diperlukan bagi melaksanakan aktiviti hafazan seperti terkandung dalam Modul Pra Tahfiz KEMAS berkenaan.

“Justeru, KEMAS akan mengguna pakai modul disediakan oleh pihak Yayasan Pahang merangkumi modul lima dan enam tahun yang dilaksanakan di TABIKA mereka.

“KEMAS dan Yayasan Pahang akan sentiasa mengemas kini modul dan best practice dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di kedua-dua institusi pendidikan awal kanak-kanak yang disediakan terutamanya kepada kanak-kanak di desa,” ujarnya.

LATIHAN SERTA PEMANTAUAN

DARI segi pelaksanaan dan persediaan guru pula, Siti Norziana berkata pada Julai 2023, seramai 100 orang guru (pendidik masyarakat) telah diberikan pengetahuan, kemahiran dan latihan berkaitan pengisian, teknik hafazan, kaedah pembelajaran hafazan secara fun learning, pentaksiran serta pemantapan kemahiran Al-Quran semasa.

“Bagi tahun 2024, seramai 4,145 orang pendidik masyarakat TABIKA KEMAS telah mengikuti Bengkel Saringan Kemahiran Asas Al-Quran bagi Program Pra Tahfiz KEMAS yang telah diadakan sebanyak 105 siri di seluruh Malaysia bertujuan menyaring tahap kemahiran
Al-Quran dalam kalangan pendidik masyarakat yang telah dicalonkan sebelum mengikuti Kursus Modul Hafazan Program Pra Tahfiz KEMAS.

“Latihan tersebut adalah termasuk pemantauan secara berterusan yang akan dilaksanakan bersama Yayasan Pahang bagi memastikan kualiti program dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Tambahnya, KEMAS turut berkolaborasi dengan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan – PINTA Kebangsaan (Yayasan PINTA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui kursus lanjutan.

“Dari segi pembacaan pula, kita akan melatih dalam kalangan guru TABIKA KEMAS secara kursus lanjutan. Dengan itu, guru-guru ini juga boleh melatih rakan-rakan guru yang lain. Ini juga membawa kesan berganda yang mana kita boleh memberikan ilmu kemahiran kepada cikgu-cikgu kita,” ujarnya.

Terdahulu‚ program ini menyasarkan 4,145 lagi kelas TABIKA Pra Tahfiz KEMAS melibatkan 62,175 kanak-kanak dengan sasaran 60 peratus kanak-kanak dapat menguasai 20 surah termasuk surah Juz Amma dan surah pilihan yang mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-Dhuha serta bersedia masuk ke tahun satu menjelang akhir sesi persekolahan
2024.

Pada 2016, KEMAS memperkenalkan modul keyakinan diri, modul patriotik dan PPI.

Menerusi modul itu, KEMAS memenangi empat kali Anugerah Trusted Brand of The Year bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas