ADA yang berpendapat, lagu zaman sekarang tiada jiwa dan kadang-kadang liriknya juga merapu. Malah ledakan teknologi juga menyaksikan penggunaan auto-tune lebih menjadi pilihan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam sesetengah keadaan, zaman kini vokal bukan lagi menjadi ukuran berbanding zaman dahulu. Jika dihayati, lagu lama melodinya sentiasa melekat di jiwa bahkan liriknya juga membawa makna yang mendalam.
Menjawab persoalan itu, penyanyi Wany Hasrita, Nor Farhana dan Azizul Haqim yang membuat persembahan pada Konsert Senandung Abadi penghargaan buat Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Datuk Sharifah Aini baru-baru ini mengakui kagum dengan kehebatan lagu-lagu lama.
Tiada bermusim
PENYANYI Nor Farhana Abu Bakar mengakui rasa bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Orkestra Kuala Lumpur.
Selama 10 tahun berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelbagai pengalaman manis yang dikecapi. Antaranya apabila berpeluang menyanyikan lagu-lagu biduanita negara, Datuk Sharifah Aini dalam konsert anjuran DBKL baru-baru ini.
Farhana yang mempersembahkan lagu Teratai, Terbang Helang dan Kau Pergi Tanpa Pesan menganggap peluang keemasan itu jarang diperoleh.
“Sejujurnya saya bangga dan rasa bertuah apabila dapat membuat persembahan di konsert tribute buat Sharifah Aini. Lagu-lagu beliau memang susah untuk dinyanyikan, nampak macam senang, tapi tak semudah itu.
“Lagu-lagunya mempunyai unsur nasihat dan elemen mendidik, dalam masa yang sama tak puas didengar. Ditambah pula suara arwah yang lunak,” katanya.
Farhana juga menyatakan rasa kagumnya terhadap lagu-lagu Sharifah Aini yang malar segar sehingga ke hari ini.
“Pernah tak kita fikir, bagaimana lagu-lagu arwah boleh kekal popular sehingga ke hari ini. Malah sentiasa menjadi pilihan untuk program televisyen dan persembahan pentas lain.
“Lagu sekarang banyak yang sedap dan hebat tapi hanya sementara. Saya tak cakap semua lagu. Ada sesetengah lagu yang bertahan hanya untuk beberapa tahun, kemudian peminat lupa. Belum lagi lagu-lagu yang tular dalam tempoh yang singkat, kemudian dilupakan,” ujarnya.
Tambahnya berbeza dengan lagu-lagu Sharifah Aini, ia tidak bermusim malah biarpun beribu lagu baharu yang muncul namun ia tetap kekal menjadi pilihan.
Keunikan tersendiri
PENYANYI lagu tradisional, Azizul Haqim mengakui lagu-lagu lama banyak memberi inspirasi kepadanya. Apatah lagi baru-baru ini dia diberi peluang mempersembahkan lagu Allahyarham Tan Sri SM Salim berjudul Dulu Lain Sekarang Lain, Kenang Daku Dalam Doamu dan Mohon Kasih dalam konsert penghargaan buat SM Salim.
“Kalau ikutkan, saya selalu nyanyikan lagu-lagu arwah dalam mana-mana persembahan saya.
“Saya memang selalu nyanyikan lagu-lagu tradisional dan klasik. Misalnya apabila menyanyikan lagu SM Salim, ia amat berbeza. Ini kerana, apabila persembahan live, beliau akan bawa lagu dengan cara lain tidak seperti yang dirakam. Apa yang ditambah dalam persembahan itu, sangat spontan.
“Jadi apabila membuat persembahan lagu-lagu beliau, penonton akan tertunggu-tunggu apa kelainan yang saya bawa apabila menyanyi secara live.
“Inilah antara faktor lagu-lagu yang dibawa beliau malar segar kekal hingga ke hari ini. Keunikan dan kelainan itulah yang istimewa. Nampak mudah, tapi sebenarnya sangat susah.
“Walaupun sekarang sudah ada bermacam-macam jenis muzik, namun lagu-lagu lama janganlah dilupakan. Jika tiada yang lama maka tiadalah yang baru,” ujarnya.
Azizul juga berpendapat, industri muzik kita boleh berbangga dengan hasil-hasil karya penyanyi terdahulu.
“Kualiti nyanyian dan hasil-hasil karya yang boleh dibangga-banggakan. Bukan itu sahaja, cara atau bagaimana mereka bawa diri dalam industri juga patut dicontohi. Apa yang dibawakan mereka sangat meninggalkan kesan dalam masyarakat,” tambahnya.
Mahu rakam semula karya klasik
WANY Hasrita yang menyanyikan lagu Seri Dewi Malam, Kau Di Awan Biru dan Oh Di Mana Mustika Hati dalam konsert tersebut, mahu merakamkan semula lagu-lagu lama jika diberi peluang.
“Paling mencabar pada malam konsert itu adalah lagu Seri Dewi Malam. Ini adalah kali pertama saya belajar dan menyanyikan lagu ini ditambah pula bersama Orkestra Kuala Lumpur.
“Mungkin ada yang kedengaran lagu tu macam mudah dibawa tapi sebenarnya tidak sama sekali. Walaupun lagu tersebut bernada rendah tetapi paling susah selain perlu penghayatan.
“Sebagai peminat lagu-lagu klasik, sudah tentu kalau ada peluang, memang nak rakam semula lagu-lagu itu.
“Mungkin ada generasi yang tidak tahu sangat lagu-lagu lama, sebagai pendatang baharu, sekurang-kurangnya kita mestilah ingin merakam semula dengan susunan muzik yang baharu atau diberi nafas baharu,” katanya.
Wany juga mengakui perlunya anak muda mengenali lagu-lagu lama namun sebenarnya ia bergantung kepada diri masing-masing.
“Ada yang cakap kena ikut trend muzik semasa, ia bagus dan tak ada salah pun tapi dalam masa yang sama kena ambil tahu lagu-lagu lama yang malar segar hingga ke hari ini.
“Apapun, ia bergantung kepada seseorang itu. Kalau suka, mereka dengar dan boleh belajar bagaimana lagu-lagu terdahulu malar segar.
“Macam saya, memang suka lagu-lagu lama kerana lebih banyak pilihan,” ujar Wany. – WILAYAHKU