POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden tular pengibaran bendera negara asing oleh sekumpulan individu di kawasan Sentosa, Johor Bahru, semalam.
Kejadian berlaku semasa upacara perarakan keagamaan peringkat antarabangsa dianjurkan sebuah persatuan kebudayaan memabitkan lebih 10 negara.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.
Menurut beliau, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan juga telah menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan, semalam.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Kesiksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita akan memanggil penganjur dan saksi-saksi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – WILAYAHKU