Berita

Labur RM150,000 terima pulangan RM1.44 juta: Duit ‘pelaburan’ RM252,004 lesap

Gambar hiasan
- Diterbit 14 Januari 2025 1:39 PM MYT

SEORANG penjual barangan dalam talian berusia 39 tahun kerugian RM252,004 selepas terpedaya iklan pelaburan di laman Facebook yang menjanjikan pulangan RM1.44 juta dalam tempoh dua bulan.

Lebih memeritkan, mangsa telah membuat pinjaman wang daripada rakannya untuk menyertai skim pelaburan Arcadia Equity Oscar itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa telah melihat iklan pelaburan di laman Facebook dan berminat dalam urusan pelaburan wang tersebut.

Katanya, pengadu bersetuju untuk menyertai pelaburan dan memilih Pakej A di mana jika melabur RM150,000 dia akan menerima pulangan RM1.44 juta dalam tempoh dua bulan.

“Untuk permulaan pengadu telah membuat transaksi sebanyak RM250 ke dalam akaun CIMB Bank, nombor akaun 8605984376 atas nama KC Weld Enterprise pada 12 November lepas.

“Pengadu telah membuat 15 transaksi secara berperingkat dari tarikh 12 hingga 24 November lalu ke enam akaun bank yang berbeza diberikan kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Chang Hook berkata, jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat oleh pengadu sebanyak RM252,004.

Katanya, pengadu dijanjikan akan mendapat pulangan tetapi sehinga kini tidak menerima sebarang pulangan dan masih lagi meminta wang untuk pelbagai urusan.

“Pengadu berasa tertipu dan membuat laporan polis untuk tindakan polis,” katanya.

Beliau menambah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan enam akaun bank telah dikenal pasti terlibat dalam penipuan berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas