KERAJAAN Madani tidak pernah mengabaikan Labuan dalam pelbagai isu pembangunan yang membelenggu pulau bebas cukai itu.
Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, kerajaan telah menyalurkan dana melebihi RM300 juta untuk projek pembaikan infrastruktur bekalan air secara berperingkat.
Katanya, pembinaan projek janakuasa elektrik baharu oleh Petronas turut dijangka akan memastikan tiada gangguan bekalan elektrik kepada pengguna menjelang 2027.
“Dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa inisiatif utama dituju kepada Labuan dengan memfokuskan keselamatan, bantuan kebajikan dan kemudahan prasarana.
“Antara inisiatif utama termasuk meningkatkan keselamatan di Labuan dan Putrajaya melibatkan pemasangan 180 kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi serta 45 butang cemas. Penduduk Labuan juga diberi diskaun tambang feri sebanyak RM7 juta untuk penumpang feri dan bot.
“Selain itu, rakyat di pulau ini juga akan menikmati peningkatan bantuan kebajikan dengan kadar Bantuan Am Wilayah Persekutuan dinaikkan kepada RM150 sebulan dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan turut memperkenalkan bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan dengan kadar harga tiket tidak melebihi RM599.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban penumpang. Gangguan penerbangan yang melibatkan MAS kini juga diatasi dengan penambahan penerbangan sebanyak 139,578 tiket oleh AirAsia dan Batik Air,” katanya. – WILAYAHKU