Atlet Wilayah

Labuan sasar 17 pingat Para SUKMA

MAHANUM (tengah) bersama kontinjen pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan
- Diterbit 19 September 2024 2:51 PM MYT

KONTIJEN Wilayah Persekutuan Labuan menyasarkan sebanyak 17 pingat dalam Kejohanan Temasya Para SUKMA ke-21 Sarawak yang bakal berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.

Menurut Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mahanum Fauzi, pihaknya yakin berjaya menyasar pingat emas menerusi acara olahraga 100 meter (m), renang gaya bebas 50m dan 100m dan boccia.

Katanya, dengan sesi latihan yang cukup dan prestasi para atlet maka pihaknya menaruh harapan pasukan berjaya mencapai sasaran tersebut.

“Saya percaya dan yakin para atlet kita akan berjaya memperolehi empat emas dan ini merupakan sasaran yang akan dicapai oleh Wilayah Persekutuan Labuan. Seramai 33 atlet bersama 22 pegawai pengiring dan jurulatih akan menggalas tanggungjawab membawa pulang kejayaan buat Labuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang juga merupakan Chef De Mission, turut meletakkan keyakinan kepada atlet baharu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam latihan.

“Berdasarkan prestasi semasa latihan, atlet-atlet baharu ini menyaingi pemenang pingat emas yang lepas. Walaupun mereka baharu, pencapaian mereka sangat memberangsangkan, sebab itu kita yakin dengan sasaran emas,” katanya.

Kontinjen Labuan menyasarkan 17 pingat keseluruhan, yang terdiri daripada 4 pingat emas, 4 perak, dan 9 gangsa dalam lapan jenis sukan yang akan disertai.

Selain itu ia turut termasuk acara olahraga, pingpong, tenpin bowling, boling padang, renang, powerlifting, badminton dan boccia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas