KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi kukuh untuk tahun 2019 yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan sekali gus membolehkan ia mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45 peratus dengan jumlah agihan RM41.68 bilion bagi Simpanan Konvensional.
Dengan ini, KWSP telah memberikan 2.95 peratus melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991 yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.
KWSP turut mengisytiharkan kadar dividen 5.00 peratus untuk Simpanan Shariah 2019, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion.
Kadar dividen itu lebih rendah berbanding tahun 2018 yang mencatatkan 6.15 peratus manakala 5.90 peratus bagi Simpanan Shariah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, perbezaan antara kadar dividen Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional disebabkan pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan Simpanan Konvensional.
Bagaimanapun, katanya, KWSP memberi jaminan kepada ahli yang memilih Simpanan Shariah bahawa kesemua pelaburan mereka adalah patuh syariah.
Alizakri berkata, jumlah keseluruhan aset KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion berikutan peningkatan keahlian sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta manakala jumlah majikan berdaftar meningkat 3 peratus kepada 522,300.
Terdapat juga peningkatan 24.6 peratus pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta, katanya.
Beliau berkata, pelancaran i-Invest pada bulan Ogos 2019 telah membantu ahli membuat keputusan bermaklumat dalam pelaburan unit amanah, yang menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta.
Di samping itu, beliau berkata, jumlah pendaftaran i-Saraan meningkat kepada 137,000 manakala pendaftaran untuk i-Suri meningkat kepada 88,500, menandakan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua produk.
“Seperti yang dijangkakan, kita telah menyaksikan turun naik yang ketara pada tahun 2019 berbanding 2018. Tahun 2019 mencerminkan realiti hidup dunia VUCA.
“Pelbagai isu di pasaran global yang masih belum selesai dan terdapat pula beberapa isu baru yang timbul.
“Terdapat tiga kali potongan kadar faedah telah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, perang dagangan AS-China yang berterusan dan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian serta ketidakpastian sekitar perundingan Brexit.
“Kami juga tidak menjangkakan bahawa rusuhan di Hong Kong akan berlarutan dan terus menambahkan tekanan ke atas pasaran timur jauh,” jelasnya.
Tambahan lagi katanya, pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70 peratus aset KWSP adalah dalam Malaysia, sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.
Alizakri juga berkata, pihaknya menjangkakan tahun 2020 akan menjadi lebih mencabar dengan kesan wabak Covid-19 yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan global.
“Kami berharap pasaran domestik akan berdaya tahan, terutamanya berikutan pakej rangsangan kerajaan yang bakal diumumkan yang akan membantu menyokong sentimen pelabur dan pengguna,” – WILAYAHKU