KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pengagihan dana bagi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata sejak diperkenal pada 13 April sehingga 30 September lalu, sebanyak RM22.715 juta telah disalurkan kepada 2,644 wanita India yang telah menjadi Sahabat Usahawan AIM.
“Pada 13 April lalu, saya telah melancarkan program PENN yang membawa maksud Prosperity, Empowerment, and a New Normal for Indian Women yang merupakan satu dana khas berjumlah RM50 juta yang disediakan kepada Sahabat Usahawan India AIM dengan jumlah pembiayaan sehingga RM30,000.
“Tapi, mengikut sasaran kita hujung tahun ini ataupun permulaan 2025 kita akan habis guna dana ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Taklimat dan Penyerahan pembiayaan dana khas PENN.
Dalam pada itu, Ramanan menyeru lebih ramai wanita India khususnya golongan muda dan lepasan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan menceburi bidang keusahawanan.
Beliau berkata ini kerana pihak KUSKOP dan agensi-agensi menyediakan banyak peluang, latihan dan skim pembiayaan untuk mereka yang berminat.
“Cubalah berjinak-jinak untuk menjadi seorang usahawan.
“Seperti AIM, anda boleh membuat pembiayaan dengan syarat yang sangat mudah.
“Tidak perlu rekod perniagaan atau rekod kewangan. Tiada penjamin, tidak perlu premis niaga dan dokumen-dokumen yang sukar untuk dipenuhi,” katanya.
Tambahnya apa yang penting ialah anda seorang wanita, warganegara Malaysia dan benar-benar mempunyai keinginan untuk berniaga.
Sementara itu, Ramanan berkata, kejayaan AIM juga dapat dilihat dalam mengeluarkan lebih 4 juta isi rumah daripada belenggu kemiskinan dan berjaya mengekalkan peratus Non-Performing Loan (NPL) sebanyak 0.09 peratus pada tahun lalu.
“Trend peningkatan permohonan dan kelulusan dari semasa ke semasa juga begitu menggalakkan dengan negeri Perak mencatatkan penerima yang paling banyak iaitu seramai 818 penerima.
“Ini diikuti Selangor seramai 535 penerima dan Pahang seramai 292 penerima,” katanya. – WILAYAHKU