PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) datang lagi meneruskan tradisi tahunan. Pesta kali ke-41 tahun ini akan bermula pada 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Walaupun wujud andaian bahawa masyarakat kini kurang membaca bahan bertulis seperti buku dan majalah, sebaliknya membaca atau membuat rujukan bahan secara dalam talian, bagi kawan-kawan Kedai Kopi andaian ini tidak semestinya tepat.
Penganjuran berterusan PBAKL membuktikan minat terhadap buku masih tinggi. Penyertaan bukan sahaja dalam kalangan pempamer dalam negeri tetapi juga dari negara luar sekali gus ia dianggap pengiktirafan negara luar terhadap PBAKL sebagai medan mempromosi dan menjual buku keluaran mereka.
Jumlah kehadiran pengunjung membuktikan orang ramai tetap menerima buku sebagai sumber pengetahuan utama dalam arus Internet yang menyaksikan bahan bacaan boleh diakses secara dalam talian. Tahun lepas sasaran penganjur ialah kehadiran 1.3 juta pengunjung tetapi jumlah yang hadir mencecah 1.6 juta, sesuatu yang sangat membanggakan serta di luar jangkaan.
Untuk tahun ini sasaran penganjur PBAKL ialah 1.5 juta pengunjung sepanjang 10 hari pesta itu berlangsung. Mengambil kira sambutan hangat tahun lepas, sasaran ini mampu dicapai. Malah tidak mustahil jumlah pengunjung akan sekali lagi melebihi sasaran.
Pendekatan PBAKL kali ini yang menjurus kepada pesta keluarga. Semua kategori bahan bacaan yang diperlukan oleh setiap lapisan usia ada dijual.
Kawan-kawan Kedai Kopi bangga kerana penganjur tidak lupa kepada yang tidak berpeluang hadir secara fizikal ke pesta berkenaan. Untuk itu, PBAKL akan turut diadakan secara dalam talian untuk kali yang ketiga.
Terdapat 972 pemamer, termasuk 14 dari luar negara. Antaranya Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran. Kehadiran mereka menyerikan PBAKL dan pada masa sama memberi peluang kepada rakyat negara ini memiliki bahan bacaan bermutu dari negara berkenaan.