Berita

Kunjungan hormat YWP ke YLTAT, rangka empat program

ABDUL RAHMAN (empat kanan) bersama Mohd Nizar (empat kiri) dan Ida Harlina (tiga kanan) ketika kunjungan hormat
- Diterbit 9 Ogos 2024 10:50 AM MYT

SEBANYAK empat program kerjasama telah dirangka Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersama Yayasan Lembaga Tabung Amanah Tentera (YLTAT) dalam memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik di antara dua pihak.

Menurut Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj, melalui hasil kunjungan hormat tersebut pihaknya turut membincangkan beberapa inisiatif bersama YLTAT.

“Antara inisiatif yang dirangka adalah pembukaan Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM) di kuarters tentera di sekitar Kuala Lumpur; Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk anak-anak tentera, veteran dan golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, YWP bersama YLTAT juga akan menjalankan program motivasi kepimpinan pelajar atau belia di Wilayah Persekutuan di mana program ini adalah untuk memperkasakan kemahiran interpersonal pelajar dengan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan interaksi sosial serta mengajar cara berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat dengan hormat dan profesional.

“Program motivasi tersebut akan melibatkan kira-kira 300 pelajar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan gabungan anak askar,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan membantu YLTAT dengan memberi subsidi pembayaran kepada pegawai rendah tentera yang berpendapatan rendah untuk menghantar anak-anak ke taska.

“Untuk makluman sebahagian program akan mula dilaksanakan dalam tahun ini juga selepas melalui beberapa perbincangan manakala untuk pembukaan PREPKOM, akan dimulakan pada tahun hadapan kerana perlu memilih lokasi yang bersesuaian terlebih dahulu. Kesemua program tersebut akan memberi tumpuan khusus buat warga Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut mengharapkan keempat-empat inisiatif bersama YLTAT ini dapat memberikan impak positif yang mendalam kepada para pelajar, belia dan anggota tentera serta keluarga mereka.

“Diharapkan menerusi Program Motivasi Kepimpinan dapat melahirkan generasi yang berdaya saing dan berwawasan dengan meningkatkan kemahiran interpersonal serta komunikasi mereka manakala dengan wujudnya pusat PREPKOM ia dapat dijadikan platform unggul untuk meningkatkan kualiti hidup dan kemahiran mereka.

“Menerusi Program TVET untuk pesara tentera, ia adalah bertujuan memberi peluang kedua kepada mereka untuk memulakan kerjaya baharu dalam bidang keusahawanan dan inisiatif terakhir iaitu pemberian subsidi perkhidmatan taska diharapkan dapat meringankan beban kewangan pegawai sokongan tentera yang berpendapatan rendah dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal yang berkualiti.

“Saya berharap semua inisiatif ini dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan dan memberikan manfaat,” ujarnya.

Terdahulu, YWP diketuai Abdul Rahman mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin. Turut sama Pengurus Kanan YWP, Datin Ts Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas