KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mempertahankan tindakan menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pada awal bulan ini.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).
“Ia juga telah mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan serta kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” katanya.
Semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat penjelasan berhubung pengumuman menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan.
Guan Eng berkata penjelasan kepada rakyat sangat penting berikutan memandang serius hak asasi manusia, khususnya pendidikan wanita.
Mengulas lanjut, KPM mengambil perhatian mengenai isu yang dibangkitkan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengenai kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke kementerian itu pada awal bulan ini seperti yang dilaporkan oleh media.
KPM berkata telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” katanya.
Sementara itu, KPM berkata kunjungan itu turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan,” katanya. – WILAYAHKU