PELABURAN dalam infrastruktur, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan penting untuk memastikan peranannya sebagai nadi pembangunan negara.
Penganalisis Perancangan Bandar dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata Belanjawan 2025 yang disusun dengan pengkhususan kepada Wilayah Persekutuan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan kesejahteraan ekonomi dan sosial warganya.
Menurut beliau, Wilayah Persekutuan diharapkan terdiri daripada warga yang pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional, peniaga kecil dan pekerja mahir.
“Keberadaan pelbagai kemahiran dan pengalaman dalam kalangan penduduk ini akan menyokong daya saing ekonomi, di mana setiap individu mampu memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan negara.
“Ruang lingkup ekonomi di Wilayah Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada sektor berasaskan pengetahuan dan inovasi. Penglibatan universiti, pusat penyelidikan dan industri dalam menghasilkan inovasi adalah kunci untuk menarik pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan berkualiti.
“Dalam hal ini, mempromosikan ekosistem startup dan teknologi digital merupakan langkah penting untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan relevan dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau berkata, selanjutnya Wilayah Persekutuan harus menjadi tempat yang mesra bagi peniaga kecil dan sederhana.
Katanya, dengan inisiatif seperti penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang baik untuk penjaja dan peniaga kecil, ruang lingkup ini akan memberi peluang kepada mereka untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Sokongan kerajaan dalam bentuk pembiayaan, bimbingan, dan latihan juga sangat penting untuk pertumbuhan perniagaan ini kerana ia membantu peniaga kecil dalam mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi.
“Warga yang sihat dan sejahtera merupakan nadi bagi ekonomi yang berdaya saing. Dengan perhatian terhadap nutrisi, pendidikan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, Wilayah Persekutuan dapat melahirkan generasi yang mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.
“Program bantuan sosial dan pendidikan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, sekali gus mempengaruhi prestasi ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menambah, ruang lingkup Wilayah Persekutuan juga perlu dilengkapi dengan infrastruktur yang berkesan dan moden termasuk sistem pengangkutan awam yang efisien dan kemudahan awam yang selesa.
Jelasnya, penyediaan infrastruktur yang baik bukan sahaja memastikan mobiliti penduduk yang lancar tetapi juga menarik pelaburan dan meningkatkan akses kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
“Peruntukan RM100 juta untuk penjaja dan peniaga kecil melalui Belanjawan 2025 menunjukkan langkah proaktif kerajaan dalam mengiktiraf dan memperkukuh peranan golongan ini dalam masyarakat. Di sini menunjukkan bahawa kerajaan menyokong ekonomi tempatan.
“Penjaja dan peniaga kecil merupakan komponen penting dalam ekonomi tempatan. Mereka bukan sahaja menyediakan pekerjaan kepada masyarakat setempat tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
“Sebagai contoh, di kawasan-kawasan yang padat penduduk seperti Petaling Street dan Jalan Alor, penjaja kecil menawarkan pelbagai pilihan makanan dan barangan, menjadikannya pusat tumpuan bagi penduduk dan pelancong. Dengan peruntukan khas ini, penjaja dapat memperluas operasi mereka, meningkatkan kualiti produk dan seterusnya menarik lebih banyak pelanggan,” katanya.
Tambahnya, di banyak negara, kulinari jalanan menjadi simbol budaya dan identiti seperti di Bangkok, makanan jalanan bukan sahaja menjadi tarikan pelancong tetapi juga merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian penduduk tempatan.
“Jika Kuala Lumpur dapat mengembangkan sektor kulinari jalanan dengan lebih baik, ini akan membantu memperkayakan identiti budaya dan menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.
Dalam perkembangan lain jelasnya, mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap isu keselamatan di Kuala Lumpur, terutamanya berkaitan dengan masalah lubang benam dan tanah jerlus, memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan efektif.
“Lubang benam dan tanah jerlus adalah fenomena serius yang bukan sahaja menjejaskan keselamatan fizikal infrastruktur, tetapi juga keyakinan warga kota dan pelancong terhadap integriti keselamatan bandar.
“Langkah kerajaan untuk memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama Kuala Lumpur adalah satu tindakan yang bijak dan bertepatan pada masanya.
“Kajian ini bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam struktur lapisan tanah dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi untuk berlakunya tanah jerlus. Data dan maklumat yang diperoleh daripada kajian ini akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pencegahan dan pembaikan yang lebih terarah dan sekali gus meminimumkan kejadian yang tidak diingini di masa hadapan,” katanya.
Tambahnya apabila isu keselamatan infrastruktur seperti ini diberi perhatian yang sewajarnya, keyakinan orang ramai, terutamanya warga tempatan yang menggunakan kemudahan awam setiap hari akan kembali pulih. – WILAYAHKU