Berita

Kuatkan semangat Nambikei, sambut Ponggal dengan ceria

- Diterbit 13 Januari 2025 10:45 PM MYT

TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menaruh harapan perayaan Ponggal tahun ini akan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagian yang menceriakan untuk negara serta komuniti India.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh juga menyarankan komuniti India dapat memperkukuhkan lagi ‘kuasa perpaduan’ dalam kalangan mereka untuk mara ke depan sebagai satu komuniti yang berjaya seiring dengan proses pembangunan negara.

“Ponggal memberikan makna yang cukup mendalam untuk kita semua. Saya mendoakan kita dapat mengukir kejayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

“Justeru itu saya mengajak semua pihak untuk berganding bahu antara satu sama lain bagi memastikan harapan komuniti India dapat diterjemahkan secara tersusun dan terancang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramanan yang juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India, berharap masyarakat India di Malaysia menjadikan sambutan perayaan musim menuai itu satu permulaan baharu bagi kaum itu lebih maju dan berjaya, selaras dengan ungkapan Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum.

“Ponggal Vaalthukal, ( Selamat Menyambut Ponggal ). Sambutlah ponggal dengan ceria dan gembira. Semangat Nambikei ( keyakinan ) yang kuat sudah pasti akan memberikan kejayaan kepada kita semua,” katanya.

Ramanan berkata rakyat Malaysia perlu melihat semula perjalanan mereka sebagai sebuah negara bangsa yang telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, harmoni dan semakin progresif hari ini.

Menurutnya sudah tentu peranan masyarakat India dalam kemajuan negara cukup signifikan.

“Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan kita seiring dengan gagasan Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas