PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) telah masuk ke fasa ketiga sejak 15 April lalu dan dijadual tamat pada 28 April nanti bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Sejak PKP dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac lalu, Kuala Lumpur yang sebelum ini sentiasa sesak dengan aktiviti pada waktu siang dan malam kini berubah sekelip mata.
Tinjauan Wilayahku di ibu kota pada waktu malam mendapati, kota raya sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti terutamanya di kawasan tumpuan dan pelancongan.
Ibu kota juga bagaikan terbungkam apabila enam jalan termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKDP) ekoran berlaku kes positif Covid-19.
Kawasan di sekitar Bukit Bintang dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dulunya meriah kini sunyi. Rehatlah seketika wahai ibu kotaku… semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.







