Berita

Kuala Lumpur–Putrajaya–Labuan bakal jadi segi tiga emas pelancongan negara

- Diterbit 17 Jun 2025 1:00 PM MYT

POTENSI sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan terus diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Wilayah Persekutuan dalam usaha melonjakkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai ‘Segi Tiga Pelancongan Strategik Negara’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata tumpuan utama perbincangan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing adalah untuk merangka pendekatan baharu yang dapat mengangkat kekuatan pelancongan unik setiap wilayah.

“Kuala Lumpur sebagai ibu kota kosmopolitan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran bertaraf antarabangsa, dan Labuan sebagai permata pelancongan maritim, ketiga-tiga lokasi ini berpotensi tinggi untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” kata Zaliha selepas Majlis Kunjung Hormat Menteri Pelancongan yang berlangsung di Menara Seri Wilayah pada Selasa.

Beliau berkata, pelancongan kini diiktiraf sebagai antara pemacu utama pertumbuhan wilayah secara mampan dan inklusif, sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan ekonomi rakyat.

Untuk rekod, sektor pelancongan negara telah menyumbang lebih RM90 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 3.6 juta peluang pekerjaan, iaitu hampir 23 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.

Dalam usaha memperkayakan lagi ekosistem pelancongan Wilayah Persekutuan, Zaliha turut mengumumkan penganjuran Borneo Flora Festival yang bakal diadakan di Labuan buat julung kalinya, dengan sasaran kehadiran lebih 50,000 pengunjung.

“Festival ini bukan sekadar perayaan flora, tetapi satu tarikan ikonik baharu yang mempersembahkan keunikan biodiversiti, budaya dan warisan Borneo dalam format lebih segar dan berimpak tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tourism Malaysia untuk memperhalusi pembangunan produk pelancongan kreatif di Putrajaya bagi memanjangkan tempoh tinggal pelancong serta memperkayakan pengalaman pelancongan.

“Dengan setiap lawatan yang menawarkan pengalaman baharu, kita akan menggalakkan kedatangan semula pelancong dan secara tidak langsung mengukuhkan ekonomi tempatan,” tambahnya.

Kerjasama erat antara MOTAC, Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan disifatkan sebagai manifestasi iltizam Kerajaan MADANI dalam mengangkat pelancongan sebagai wahana pemerkasaan identiti negara dan pemacu daya saing ekonomi masa depan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas