Berita

KRU cipta sejarah, Konsert GenKRU ditambah sehari lagi

- Diterbit 3 Januari 2025 8:24 PM MYT

TRIO adik-beradik, KRU mencipta sejarah apabila Konsert GenKRU ditambah sehari lagi menjadi tiga hari.

Bagaimanapun konsert malam ketiga itu hanya akan diadakan pada 10 Mei iaitu seminggu selepas konsert hari pertama dan kedua pada 3 dan 4 Mei depan.

Jualan tiket konsert KRU yang dibuka pada 20 Disember lalu yang licin dalam tempoh sejam mendorong penganjur, Icon Entertainment menambah satu malam lagi pada keesokan harinya di lokasi sama Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, jualan tiket hari kedua sebanyak 10,000 tempat itu habis dalam tempoh 45 minit.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata sambutan luar biasa dan permintaan tinggi daripada peminat mendorong penganjuran konsert ditambah.

“Dengan pertimbangan yang cukup berhati-hati dan persetujuan yang diperoleh daripada KRU maka kami memilih 10 Mei.

“Keputusan menambah hari konsert menjadi tiga hari adalah kerana melihat semangat dan permintaan yang cukup tinggi dari kalangan peminat selepas ada yang gagal mendapatkan tiket pada hari pertama dan hari kedua.

“Penganjuran hari ketiga bukan bersifat opurtunis sebaliknya Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry tidak mahu menghampakan harapan peminat.

“KRU juga ingin membuktikan bahawa pemuzik tempatan juga mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar terhadap
pasaran sendiri,” katanya.

Iman juga berkata, peluang menjayakan konsert berskala besar selama tiga malam merupakan satu penghormatan untuk artis tempatan.

Tiket untuk Konsert GENKRU boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 harga bermula dengan kategori dan harga: reKRUed – RM258, Canggih – RM358, Relax – RM478, Kaset – RM508, KRUjaan – RM548 dan KRUnisme – RM588.

Untuk pemegang kad Maybank (MAYBANK CARDMEMBERS), pra-jualan tiket dibuka pada 7 Januari 2025 (Selasa sahaja) dari jam 11 pagi.

Tiket untuk umum pula akan mula dijual pada Rabu, 8 Januari 2025, jam 3 petang.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas