Berita

Krismas di Thailand disambut meriah

KREDIT foto: Reuters.
- Diterbit 25 Disember 2023 7:15 PM MYT

PERAYAAN Krismas di Thailand disambut meriah dengan suasana persekitaran mempesonakan yang disulami keunikan tradisi tempatan dan elemen Barat.

Pusat beli-belah dan hotel berubah wajah, dihiasi dengan pokok Krismas yang menjulang tinggi, cahaya berkilauan dan pelbagai perhiasan.

Walaupun Krismas bukan cuti umum di Thailand tetapi perayaan itu tetap disambut meriah.

Bangkok menjadi lebih bercahaya dan antara mercu tanda utama di bandar raya ini adalah deretan pasar Krismas yang bukan sahaja dipenuhi dengan pelbagai perhiasan malah turut menjual aneka jenis hidangan unik Thailand dan Barat.

Sambil menikmati pelbagai jenis makanan, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai jenis kraf tangan.

Musim sejuk yang mula melanda di Thailand terutamanya di kawasan utara telah menggamit kehadiran penduduk tempatan dan pelancong.

Keindahan pemandangan yang memukau dan udara segar di kawasan pergunungan menjadikan kawasan di utara menjadi destinasi pilihan kepada pengunjung untuk meraikan Krismas.

Tahun ini, sambutan Krismas di Thailand menyaksikan gabungan cahaya bergemerlapan, kekayaan budaya dan suasana yang sungguh harmoni. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas