SELURUH rakyat Malaysia diseru untuk berpakaian oren pada Sabtu ini sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita atau International Day for the Elimination of Violence against Women – EVAW.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu merupakan kerjasama yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Warna oren adalah warna global yang menandakan solidariti bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.
“Pemilik-pemilik premis dialu-alukan untuk menghiasi premis mereka dengan warna oren bagi menyokong kempen ini,” kata kenyataan itu.
Sebagai simbolik permulaan kepada kempen tersebut, KPWKM juga akan menyinari Menara Kuala Lumpur dengan warna oren pada malam 24 November (Khamis) ini.
Dalam pada itu, KWPKM turut menyarankan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk melaksanakan program-program kesedaran menghapuskan keganasan dan penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di peringkat akar umbi.
“Mislanya di komuniti setempat, sekolah, universiti dan tempat kerja supaya kempen ini berjaya mencapai matlamatnya.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menjayakan kempen ini dan seterusya menghapuskan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan,” ujarmya. – WILAYAHKU