PEKA terhadap penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (Total Fertility Rate), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif melancarkan Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM6 juta melalui Belanjawan 2025 bagi membiayai dua kitaran rawatan permanian beradas (IUI) kepada 1,300 pasangan yang layak secara percuma dan kempen advokasi infertiliti.
“Pihak kerajaan berharap agar kemudahan dan subsidi rawatan kesuburan melalui
Program BuAI ini dapat membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian mereka untuk membina keluarga.
“Ia dilaksanakan bagi meningkatkanaksesibiliti dan kemudahan kepada pasangan berpendapatan isi rumah kurang RM10,000 dan tidak pernah mendapat sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana agensi untuk menjalani rawatan IUI.
“Kos rawatan IUI di Pusat Subfertiliti Swasta dianggarkan antara RM 2,000 hingga RM3,000 bagi satu kitaran rawatan,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau turut mengumumkan pada 18 Februari 2025, LPPKN telah merekodkan kehamilan pertama melalui Program BuAI sekali gus merupakan satu pencapaian yang amat bermakna.
“Kejayaan tersebut bukan hanya menandakan langkah penting dalam perjalanan kehidupan pasangan tersebut tetapi juga membuktikan bahawa program ini mampu memberikan sokongan yang diperlukan kepada pasangan yang sukar mendapatkan cahaya mata.
“Bagi memberi kesedaran kepada pasangan yang mempunyai masalah
subfertiliti supaya segera mendapatkan rawatan kesuburan, Seramai 30,000 pasangan
bakal mendapat manfaat kempen advokasi kesuburan dan kesejahteraan lelaki melalui
platform media sosial, program fizikal dan outreach dengan tagline Lebih Awal, Lebih Baik di samping perkhidmatan kaunseling dan konsultasi,” ujar Nancy.
Sementara itu, bagi pasangan yang layak, inisiatif BuAI boleh diakses melalui temu janji di empat Klinik Subfertiliti LPPKN dan Klinik Fertiliti LPPKN (Full Paying Patient) iaitu Klinik Subfertiliti LPPKN Kuala Lumpur, Klinik Subfertiliti LPPKN Johor, Klinik Subfertiliti LPPKN Sarawak, Klinik Subfertiliti LPPKN Pulau Pinang dan Klinik Fertiliti Full Paying Patient (FPP). – WILAYAHKU