KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah membuat persediaan awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MLT) yang dijangka bermula bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatur bantuan yang diperlukan ketika bencana itu berlaku.
Beliau berkata pada masa ini segala bantuan asas seperti persediaan pusat pemindahan sementara (PPS), makanan serta bantuan lain telah disiapkan.
“Kami sentiasa bersedia setiap (untuk menghadapi banjir). Semua sudah siap, ada sekolah yang (diwartakan) jadi PPS, bekalan makan sudah disediakan, prosedur operasi standard (SOP) semua dah siap,” katanya pada sidang media selepas Program Jalinan KASIH KPWKM bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO), di sini hari ini.
MET Malaysia melalui Laporan Tinjauan Cuaca bagi Tempoh September 2023 hingga Mac 2024 meramalkan MTL 2023/2024 dijangka bermula bulan ini dengan empat hingga enam episod luruan mosun yang membawa hujan berterusan dan berpotensi menyebabkan banjir.
Terdahulu, Nancy dalam ucaptama majlis itu berkata RM96 juta disalurkan kepada 2,672 NGO sejak Bantuan Khas Perbendaharaan (BKP) diperkenalkan pada 2001 hingga tahun ini.
Beliau berkata 6,697 program dilaksanakan melibatkan pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dengan penyertaan hampir sejuta peserta di seluruh negara.
“Program Jalinan KASIH antara KPWKM dan NGO dicipta sebagai platform kerjasama agar hala tuju dan agenda pemerkasaan wanita, keluarga, dan masyarakat di peringkat kebangsaan adalah selari dengan matlamat dan tindakan di peringkat NGO.
“Inisiatif ini menyediakan peluang kepada NGO untuk memberikan pandangan dan cadangan yang akan meningkatkan program, mengukuhkan peranan NGO, serta memperluaskan kerjasama strategik antara KPWKM dan NGO,” katanya. – BERNAMA