KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah berbincang atau membenarkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa isu tersebut tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat
KPT mahupun peringkat Kabinet.
“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. – WILAYAHKU