KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir KPT melalui Briged Sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan kekuatan 878 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar mula digerakkan dalam menyantuni mereka.
KPT dalam satu kenyataan berkata turut digerakkan adalah pelbagai aset milik IPT yang digunakan bagi memudahkan capaian ke lokasi yang terjejas meliputi dua dua buah bot, 24 buah bas, enam buah lori, 15 buah van dan 17 buah kenderaan pacuan empat roda.
“Pihak kementerian juga menyediakan pelbagai kelengkapan tambahan antaranya 56 unit waterjet, empat buah waterpump, tiga tangki air dan sembilan unit generator bagi melancarkan kerja pembersihan
bangunan awam seperti sekolah dan premis di kawasan yang terjejas.
“Selain itu, perkhidmatan bantuan sokongan psikologi kepada mangsa yang terkesan secara individu mahupun berkelompok juga ditawarkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, selain Kedah dan Pulau Pinang, misi bantuan ini akan turut dipanjangkan kepada semua kawasan banjir yang terjejas di negeri Perak dan Perlis dan bersedia menggerakkan di kawasan lain sekiranya diperlukan.
“KPT komited memastikan mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri utara tanah air dibantu dengan penyampaian bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.
“KPT juga berharap dengan usaha yang digerakkan ini dapat memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa banjir serta seluruh warga Kementerian juga mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini,” ujarnya. – WILAYAHKU