KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian terhadap isu kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara terutama bagi opsyen mata pelajaran kritikal.
Menurut kementerian tersebut, pihaknya sentiasa meningkatkan sinergi dan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa melantik (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) serta agensi pusat yang berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Jelasnya, dalam menangani isu kekurangan guru, beberapa kaedah dipersetujui dan dilaksanakan untuk membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.
“Bagi langkah jangka pendek dan sederhana, pengambilan guru dilaksanakan menggunakan kluster mata pelajaran.
“Pengambilan guru juga diperluas kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan VN Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai langkah strategik bagi menangani kekurangan guru khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
KPM menambah, pelantikan guru secara kontrak dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan.
Katanya, mereka akan dipersiapkaan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Langkah seterusnya jelas KPM, adalah pelaksanaan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun secara sepenuh masa kepada graduan tanpa pendidikan bermula tahun ini.
Katanya, bagi langkah jangka panjang, KPM melaksanakan tindakan iaitu pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan PISMP lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini.
Selain itu jelasnya, menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM.
“Ia berperanan untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru,” katanya.
KPM memberitahu, sehingga 30 September lalu, statistik jumlah pengisian guru adalah seramai 416,260 orang dan peratus pengisian adalah sebanyak 96.18 peratus.
Dalam tempoh tersebut juga katanya, seramai 13,749 orang guru baharu telah ditempatkan bagi mengisi perjawatan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara. – WILAYAHKU