Berita

KPKT sambut baik cadangan calon kampung melayu atau tempat berpotensi sebagai tapak warisan UNESCO

- Diterbit 8 Februari 2024 4:08 PM MYT

KPKT sambut baik cadangan calon kampung melayu atau tempat berpotensi sebagai tapak warisan UNESCO

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyambut baik cadangan dari pelbagai pihak untuk mencalonkan kampung melayu atau mana-mana tempat berpotensi dan bersejarah sebagai tapak warisan Unesco.

Menurut beliau, sepertimana yang disebut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Unesco masih dalam peringkat cadangan dan tidak seharus dijadikan isu perkauman.

“Cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco bukan ‘zero sum game’. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap mendukung prinsip Malaysia MADANI yang menekankan enam nilai-nilai penting, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan menjadi tonggak dalam hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

“Saya telah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalah berlandaskan Rukun Negara dan saya berazam dan berhasrat untuk melaksanakannya ‘walk the talk’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kor Ming, sepanjang tahun 2023, banyak inistaif mesra rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan bangsa telah dilaksanakan oleh KPKT.

“Sebagai contoh, KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BKK) telah memperuntukkan RM42 juta untuk membina rumah baharu atau membaikpulih 2016 buah rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar di bandar.

“Kami juga telah memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih rumah-rumah ibadat bukan Islam,” ujarnya.

Selain itu, jelas Kor Ming, KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah menambahbaikan 400 buah kuarters bomba di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta dan banyak lagi.

Kor Ming turut menyatakan untuk memelihara identiti bandar diraja sebagai lambang kedaulatan negara, KPKT juga telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja di mana ia terpakai untuk sembilan bandar diraja di Semenanjung Malaysia sebagai panduan pembangunan yang merangkumi aspek warisan, identiti, ekonomi dan pelancongan.

“Bagi memberi pengiktirafan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dapat memenuhi kehendak kerajaan dan rakyat serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, KPKT bertindak pantas dalam proses permohonan naiktaraf status PBT.

“Pada tahun 2023, dua PBT telah dinaiktaraf status, iaitu Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dan Majlis Bandaraya Diraja Klang,” ujarnya.

Oleh itu, menurut Kor Ming, segala tuduhan berkaitan beliau atau kerajaan mencabar kepentingan orang Melayu dan bumiputera adalah bagai rantai besi dimakan bubuk, adalah tidak masuk akal dan tidak benar. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas