Berita

KPKT laksana 5,196 projek pembangunan rakyat dengan peruntukan RM700 juta tahun ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 28 Disember 2023 2:05 PM MYT

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 5,196 projek pembangunan untuk rakyat tahun ini dengan peruntukan RM700 juta.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata ia merupakan jumlah projek tertinggi dilaksanakan dalam sejarah kementerian, melibatkan empat komponen utama iaitu sosioekonomi (746 projek); kemudahan awam (476 projek); keselamatan (33 projek) dan infratstruktur (3,941 projek).

“Antara pembangunan utama yang diberi penekanan termasuk peningkatan pembinaan infrastruktur awam seperti parit, longkang, jalan, laluan pejalan kaki, lampu jalan selain kemudahan awam seperti dewan serbaguna, kemudahan sukan dan rekreasi, pondok, bas serta tandas awam bertaraf BMW (Bersih, Menawan dan Wangi).

“Selain itu projek-projek sosioekonomi turut mendapat perhatian KPKT dengan menaik taraf premis perniagaan, pasar, bazar dan gerai makan bagi menawarkan peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan turut meluluskan RM191 juta bagi pelaksanaan 3,209 unit MyKiosk dengan peruntukan RM48.8 juta, selain membelanjakan RM47.6 juta bagi projek perparitan bagi mengelak banjir kilat, serta hampir RM100 juta (RM94.6 juta) untuk kira-kira 469 projek kolam takungan banjir.

Nga berkata kesemua projek itu dilaksanakan mengikut Peruntukan Berlandaskan Pelaksanaan (Performance-Based Budget) bagi memastikan dana awam yang dibelanjakan menepati sasaran dan berbaloi dari segi kos serta harganya.

Bagi 2024, beliau berkata KPKT akan terus menimbangkan projek-projek baharu melalui pelaksanaan kajian berdasarkan Pulangan Pelaburan, Analisis Kos Faedah, Indeks Kesahan dan Kebolehpercayaan (Credibility Reliability Index) dan Kajian Kebolehlaksanaan.

Katanya ia bagi mengelakkan sebarang ‘projek gajah putih’ pada masa hadapan, dan pada masa yang sama kementerian turut mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau dan menyelenggara semua projek yang dilaksanakan.

Beliau berkata KPKT telah menetapkan sasaran 5,000 projek bagi setiap tahun, dan beliau yakin kerajaan MADANI mampu melaksanakan 50,000 projek pembangunan untuk rakyat jika terus diberi peluang mentadbir negara bagi 10 tahun.

Sementara itu sempena lawatan penutup Program Sentuhan Kasih KPKT hari ini, Nga mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf Pasar Bazar Rakyat Seri Kembangan, khususnya bagi membaik pulih tandas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas