KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh Malaysia bagi tahun 2025 adalah mencukupi dan dapat memenuhi permintaan.
KPKM dalam kenyataan memberitahu, mengikut statistik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu/kerbau bagi tujuan korban adalah 38,804 ekor.
“Stok bekalan lembu/kerbau tempatan sehingga Mac 2025 adalah 35,581 ekor manakala bekalan lembu/kerbau yang diimport sehingga Mac 2025 adalah sebanyak 3,223 ekor.
“Bagi kambing/bebiri pula adalah 30,167 ekor yang mana sehingga Mac 2025 adalah 26,845 ekor manakala bekalan kambing/bebiri yang diimport sehingga Mac 2025 adalah sebanyak 3,322 ekor,” ujar kenyataan itu.
Mengulas lanjut, anggaran permintaan lembu/kerbau untuk korban adalah dijangka sebanyak 34,451 ekor manakala permintaan bagi kambing/bebiri sebanyak 22,453 ekor.
“Justeru, jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun 2025.
“Sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban. Di samping itu, DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 40 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban,” maklum kenyataan itu. – WILAYAHKU