Berita

KPKM import lebih 600,000 biji kelapa tangani isu kekurangan bekalan

- Diterbit 27 Februari 2025 9:26 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya mengimport dan mengedarkan sejumlah 661,761 biji kelapa tua bagi memastikan bekalan kelapa mencukupi di pasaran tempatan.

Ia bersamaan dengan 661 metrik tan (MT) dengan nilai keseluruhan RM1.45 juta.

KPKM dalam kenyataan memaklumkan bekalan ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor; Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.

“Bekalan ini akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran.

“Usaha ini akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil. Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut KPKM, bagi langkah jangka panjang, melalui Rancangan Malaysia Ke-12, DOA telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).

“Kawasan tanah yang dikenal pasti dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik termasuk juga dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa yang diusahakan bermula tahun 2016 di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas