Berita

KPDNHEP sita 5,180 kg tepung gandum di Pulau Pinang

- Diterbit 19 Januari 2021 7:13 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pulau Pinang menyita lebih 5,000 kilogram tepung gandum daripada seorang pemborong kerana menyimpan barang kawalan berjadual melebihi jumlah yang dibenarkan dalam lesen.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Timur Laut Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata sitaan itu dibuat dalam operasi ke atas sebuah premis semalam.

“Tepung gandum yang terdapat di premis itu ialah sebanyak 12 tan. Sepatutnya pemborong hanya boleh menyimpan sebanyak tujuh tan tepung gandum pada satu-satu masa,” katanya hari ini.

Menurutnya, pemborong itu mendakwa lebihan tersebut merupakan persediaan untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Ahmad Ahrazzuddin berkata pemilik premis melanggar Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan melebihi had seperti yang dinyatakan dalam lesen.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda hingga RM1 Juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua–duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas