SEBANYAK 3,064 aduan berkaitan ketirisan barang bersubsidi seperti minyak diesel, gas serta minyak masak diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam tempoh 11 bulan ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, minyak masak merupakan antara barang kawalan yang menerima aduan tertinggi iaitu 1,862 aduan.
Jelas beliau, ini diikuti gula dengan 282 aduan, diesel (246 aduan), gas memasak LPG (173 aduan) dan aduan berkaitan lain-lain barang kawalan seperti petrol, telur ayam, tepung gandum dan ayam.
“Bahagian Penguat Kuasa dan Pejabat-Pejabat Negeri KPDN seluruh negara telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan termasuk tindakan kes terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai jumlah aduan terhadap penyelewengan barang bersubsidi.
Ahli Dewan Negara itu juga meminta KPDN memperincikan jumlah tangkapan yang dibuat dan jumlah yang dituduh di mahkamah mengikut daerah di Sarawak.
Armizan berkata, bermula Januari sehingga 30 November lalu, sebanyak 16 tangkapan telah dilakukan oleh KPDN Sarawak dengan pecahan 10 tangkapan oleh KPDN Kuching dan 6 tangkapan dilakukan KPDN Miri.
“Jumlah tangkapan tersebut adalah sebahagian daripada sejumlah 127 kes yang dihasilkan di Sarawak sepanjang tempoh yang sama,” katanya.
Tambahnya, punca kuasa perundangan utama bagi KPDN dalam aspek penguatkuasaan bagi menangani isu ketirisan termasuk penyelewengan barangan bersubsidi adalah di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Katanya, ia turut meliputi perundangan subsidiarinya serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – WILAYAHKU