KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan serbuan ke atas sebuah premis didapati menjual gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan di Bandar Bukit Puchong, Puchong.
Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata hasil daripada uji beli yang telah dilakukan, LPG berkapasiti 14kg telah dijual pada harga RM34 setiap tong berbanding harga kawalan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM26.60 setiap tong bagi LPG berkapasiti 14kg.
Menurut Azman, alasan yang diberikan oleh peniaga terbabit menjual melebihi harga kawalan adalah susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan 10 jun lalu.
“Pasukan serbuan telah bertindak dengan melakukan sitaan ke atas LPG terbabit selain beberapa dokumen perniagaan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu LPG 14kg melebihi harga kawalan.
“Selain itu, satu Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] juga telah dikeluarkan kepada peniaga terbabit untuk mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari bekerja kepada pihak KPDN susulan tindakan peniaga terbabit memberikan alasan pelarasan subsidi harga minyak diesel menjadi punca kenaikan harga LPG berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Azman menegaskan KPDN ingin memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]. – WILAYAHKU