KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merampas dan menyita produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan ‘No Palm Oil’ bernilai RM 897.60 dalam satu serbuan ke atas premis kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya pada 2 Mei lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya bermula pada jam 11.45 pagi itu adalah hasil aduan awam yang telah diterima oleh pihak Kementerian
“Kes ini akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.
“Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan berkata perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 telah mula dikuatkuasakan bermula 15 Mac 2022.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 sehingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan ini, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara ke atas premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes telah didapati,” katanya.
Tambah Armizan, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk yang diimport dari luar Negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.
“Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit,” katanya. – WILAYAHKU