Berita

KPDN Labuan laksana pemantauan, elak peniaga manipulasi harga ayam

PASUKAN penguat kuasa KPDN ketika melaksanakan pemantauan harga ayam di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 10 November 2023 3:00 AM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan giat melaksanakan ­pemantauan dan penguatkuasaan di premis perniagaan di pulau tersebut.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Labuan, Amiluddin Malang berkata pihaknya ­sentiasa ­menjalankan ­pemeriksaan ­ ­serta pemantauan di lokasi tumpuan orang awam ­untuk ­memastikan ­bekalan di pasaran mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan.

“Hasil ­pemeriksaan dan pemantauan ­tersebut mendapati bekalan ayam mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan serta tidak berlaku pembelian panik.

“KPDN akan ­melaksanakan ­pemantauan dan ­penguatkuasan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan peniaga tidak mengambil ­keuntungan yang tidak munasabah dan memanipulasi harga ayam di peringkat peruncit selain memastikan peniaga mematuhi perundangan di bawah selian KPDN,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambahnya, ­penguatkuasaan secara berhemah ­juga akan dilaksanakan bagi memberikan pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang.

“Pemantauan turut dilakukan oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi mendapatkan maklumat berkenaan harga jualan ayam dan ia diteruskan setiap hari,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas