Berita

KPDN keluar 191 notis kepada peniaga

- Diterbit 13 Jun 2024 10:47 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan sebanyak 191 notis terhadap peniaga yang menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah dalam Ops Kesan 2.0.

Ops Kesan 2.0 dilancarkan sebagai persiapan kepada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula 8 jun lalu.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata notis tersebut dikeluarkan susulan pemeriksaan ke atas 346 premis sehingga semalam di seluruh negara.

Menurut Fuziah, selepas pengumuman penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, selain notis dikeluarkan, sebanyak 23 aduan telah diterima serta tiga kertas siasatan telah dibuka.

“KPDN telah membuat persiapan rapi bagi menangani sebarang aduan terhadap mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah terutama kepada mereka yang telah mendapat manfaat dari penyasaran subsidi diesel dan juga kepada peniaga yang sememangnya tidak layak menerima subsidi diesel sebelum pelaksanaannya.

“Pihak KPDN ingin mengingatkan khususnya para peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 demi menjaga dan melindungi hak pengguna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Fuziah menegaskan, orang ramai boleh mengemukakan sebarang maklumat aduan melalui talian khas Ops Kesan 2.0 iaitu 012-665 4292.

“Selain itu, aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317/ 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat talian 1-800-886-800; dan aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas