Berita

Kota MADANI sejajar Pelan Induk Putrajaya

FADLUN (dua dari kanan) menerangkan mengenai pembangunan Kota MADANI kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Diterbit 4 Julai 2025 8:03 PM MYT

PEMBANGUNAN Kota MADANI dibangunkan berteraskan konsep compact development (pembangunan kompak) sejajar dengan Pelan Induk Putrajaya sejak tahun 1998.

Demikian tegas Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud mengenai projek perumahan penjawat awam di Presint 19 yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Menurut beliau konsep pembangunan kompak dipilih kerana ia mampu menyediakan pelbagai kemudahan harian kepada penduduk dalam jarak yang sangat dekat.

“Kota MADANI tampil unik kerana ia memperkenalkan struktur pembangunan bercampur (mixed-use development) yang menempatkan kediaman dan kemudahan pendidikan dalam bangunan yang sama yang merupakan satu pendekatan pertama seumpamanya di negara ini,” katanya kepada Wilayahku.

Fadlun menambah konsep berkenaan membolehkan akses kepada sekolah, kedai, surau, taman dan lain-lain hanya dalam satu kawasan.

Penduduk katanya tidak perlu bergantung kepada kenderaan untuk keperluan harian sekali gus menyokong aspirasi Putrajaya sebagai bandar pintar dan mampan.

Mengulas lanjut, Fadlun berkata pembangunan Kota MADANI adalah sebahagian daripada perancangan menyeluruh Putrajaya.

“Cuma konteks untuk Presint 19 kita namakan Kota MADANI sama juga seperti Presint 14, pihak pemaju menggunakan nama lain untuk strategi pasaran namun kedua-duanya kekal dalam kerangka asal pelan pembangunan Putrajaya.

Katanya, ia turut mengambil pendekatan pembangunan di Presint 11 sebagai rujukan.

“Namun ia tidak membentuk entiti baharu, sebaliknya menjadi kesinambungan daripada pelan induk Putrajaya yang telah dirancang sejak penubuhannya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tegas beliau Kota MADANI bukanlah sebuah bandar baharu yang menggantikan Putrajaya, tetapi merupakan sebahagian daripada pelaksanaan berfasa pelan pembangunan Putrajaya yang telah digariskan sejak awal lagi.

“Dengan pendekatan pembangunan kompak ini, Kota MADANI menjadi bukti nyata bagaimana perancangan bandar yang menyeluruh dan mampan mampu diterjemahkan dalam bentuk fizikal yang memberi impak positif kepada penduduk dan masa depan negara,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas