Berita

Kota MADANI ringan beban penjawat awam

- Diterbit 6 Julai 2025 9:00 AM MYT

PROJEK Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya yang dilancarkan secara rasmi pada Khamis lalu merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan bandar pintar berteraskan kebajikan rakyat serta pemerkasaan penjawat awam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, projek ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri sendiri dan dirangka bagi menyelesaikan isu perumahan yang sekian lama membebankan penjawat awam, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Putrajaya memerlukan sekurang-kurangnya 35,000 unit kuarters penjawat awam, namun hanya 22,000 unit tersedia sejak lebih dua dekad lalu. Kini, terdapat kira-kira 17,000 permohonan yang masih belum dipenuhi,” katanya ketika Majlis Peluncuran Pembangunan Kota MADANI.

Sebagai usaha mengatasi masalah ini, beliau berkata sebanyak 10,000 unit kuarters baharu akan dibina di bawah Projek Kota MADANI, sekali gus dijangka mengurangkan beban kewangan yang ditanggung penjawat awam yang terpaksa menyewa di luar Putrajaya.

“Seorang pegawai Gred Sokongan mungkin membayar sewa RM1,200 hingga RM1,500 sebulan, selain RM500 untuk kos petrol. Melalui penempatan di Kota MADANI, mereka boleh berjimat sehingga RM1,000 sebulan, jumlah yang amat besar untuk perbelanjaan keluarga dan simpanan masa depan,” katanya.

Tambah Zaliha Kota MADANI bukan sahaja menawarkan perumahan berkualiti, tetapi juga memperkenalkan konsep bandar walkable dan mesra rakyat, yang direka bentuk untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan, sekali gus menjimatkan kos harian.

Projek ini turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem keselamatan pintar dan prinsip kelestarian alam sekitar, selari dengan pendekatan MADANI dan C.H.A.S.E.

“Kota MADANI ialah ekosistem kehidupan yang inklusif, selamat dan mesra alam, bukan sekadar projek fizikal tetapi simbol pendekatan baharu dalam pembangunan bandar yang meletakkan rakyat sebagai subjek utama pembangunan,” katanya.

Dalam masa sama, Zaliha berkata projek ini tidak bertujuan menggantikan Putrajaya, sebaliknya melengkapi perancangan pembangunan bandar moden yang sedia ada.

“Kota MADANI hanya meliputi 0.8 peratus daripada keseluruhan keluasan Putrajaya. Ia merupakan kesinambungan kepada perancangan bandar yang lebih terancang dan mesra komuniti,” katanya yang turut menegaskan bahawa Kota MADANI adalah lambang kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

Projek ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan pendidikan yang mudah diakses dan sistem keselamatan moden, menjadikan ia sebagai lokasi kediaman yang kondusif untuk keluarga penjawat awam.

TANGGAPAN VS FAKTA: KOTA MADANI PUTRAJAYA

Sejak pengumuman awal mengenai pembangunan Kota MADANI, banyak persoalan dan salah tanggapan timbul.

Untuk itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tampil membetulkan fakta.  

Tanggapan 1: Kota MADANI akan gantikan Putrajaya?

Fakta: Tidak. Kota MADANI hanyalah sebahagian kecil dalam Putrajaya, bukan pengganti. Kawasannya cuma seluas 102 ekar, iaitu 0.8% daripada keseluruhan Putrajaya, dan terletak di Presint 19.

Tanggapan 2: Ini membazir duit rakyat?

Fakta: Tak betul. Ia dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep BLMT (Build-Lease-Maintain-Transfer) oleh Putrajaya Holdings. Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan. Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik Kerajaan.

Tanggapan 3: Perlukah bina Kota MADANI ini?

Fakta: Perlu. Kota MADANI akan sediakan 10,000 unit kuarters baharu untuk penjawat awam. Hari ini ada lebih 17,000 permohonan kuarters yang belum dapat dipenuhi kerana kekurangan unit sedia ada. Ini bukan soal kehendak, tapi soal keperluan.

Tanggapan 4: Kenapa guna nama MADANI?

Fakta: MADANI bukan label politik. Ia adalah nilai tentang kemanusiaan, keseimbangan, keadilan dan kelestarian. Kota MADANI ini dibangunkan selari dengan visi Bandar CHASE, iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam. Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini.

Penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan yang baik dan Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan. Jangan terus kelirukan rakyat dengan naratif yang salah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas