CADANGAN pembangunan Kota MADANI disifatkan sebagai satu inisiatif perumahan yang bukan sahaja menyeluruh, malah mampu menjadi pelopor kepada sistem perumahan negara yang lebih moden dan lestari.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat Dewan Negara, Senator Manolan Mohamad berkata Kota MADANI tampil dengan perancangan lebih lengkap.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan dan operasi bandar merupakan satu ciri unik yang mencerminkan kemajuan teknologi dalam perancangan bandar masa depan.
Aspek mesra alam yang diterapkan dalam projek ini juga menjadikan Kota MADANI sebagai model perumahan baharu yang mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan.
“Usaha kerajaan menyediakan kediaman yang mencukupi untuk orang awam dan rakyat, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan rumah mampu milik di bandar.
“Sistem pergerakan yang dirancang secara saling berhubung (interconnected) di dalam kawasan itu juga menjadikan pergerakan lebih mudah, tanpa perlu bergantung kepada kenderaan persendirian,” katanya.
Selain itu, katanya kemudahan asas seperti masjid, sekolah, bank, kedai dan fasiliti awam lain yang dibina dalam radius berjalan kaki di Kota MADANI dirangka sebagai bandar yang berfungsi secara menyeluruh.
“Bagi saya sistemnya lebih terancang kerana pergerakannya lancar, tiada kesesakan lalu lintas. Ini sangat berbeza dengan kawasan perumahan baharu yang selalunya sesak dan padat,” katanya.
Sebagai projek perintis, Kota MADANI juga diyakini boleh dijadikan model pembangunan di bandar-bandar lain sekiranya pelaksanaannya berjaya.
Mengulas dakwaan bahawa projek ini bersifat pembaziran, Manolan menegaskan bahawa tiada dana kerajaan digunakan kerana ia sepenuhnya dibiayai pihak swasta.
“Kalau nak dapat pulangan besar, pelaburan juga kena besar. Pelaburan RM4 bilion itu adalah daripada pihak swasta. Ini bukan pembaziran, tapi pelaburan masa depan.
“Malah, penggunaan tanah juga dioptimumkan. Sekolah yang bakal dibina di situ akan menggunakan konsep bertingkat bagi menjimatkan ruang, sekali gus menunjukkan perancangan pembangunan yang bijak.
“Dengan teknologi hijau seperti penggunaan panel solar untuk menjimatkan elektrik, projek ini membawa pendekatan lestari yang bertepatan dengan aspirasi negara menuju ekonomi hijau,” katanya. – WILAYAHKU