Berita

Kota MADANI bukan gimik politik

ANWAR ketika berucap meluncurkan projek pembangunan Kota MADANI di Putrajaya.
- Diterbit 1 Julai 2025 2:00 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan Kota MADANI tidak seharusnya dilihat hanya sebagai projek fizikal berskala besar, sebaliknya perlu difahami sebagai simbol pendekatan baharu pembangunan bandar di negara ini yang berteraskan nilai kemanusiaan dan kepentingan rakyat.

Menurut beliau pendekatan tersebut amat penting bagi memastikan pembangunan tidak hanya berpaksikan keuntungan semata-mata, sebaliknya memartabatkan budaya, kesejahteraan sosial serta memenuhi keperluan komuniti, terutamanya penjawat awam.

“Saya mahu Kota MADANI dijadikan contoh kepada pembangunan bandar di semua negeri. Kita tidak boleh terus tunduk kepada kehendak pemaju. Kitalah yang seharusnya merancang dan menentukan arah pembangunan bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya.

Anwar turut menyeru agar penjawat awam mempertahankan pelaksanaan projek tersebut yang jelas dirancang untuk kepentingan mereka, meskipun wujud suara sumbang yang mempertikaikannya atas kepentingan tertentu.

“Kita tahu masalah perumahan penjawat awam dan sebab itu kita tampil dengan solusi. Tapi bila kita luncurkan Kota MADANI, ada yang jadikan ia isu politik. Saya tak kesah, tapi penjawat awam perlu lihat dan pertahankan usaha ini,” tegasnya.

Beliau berkata projek tersebut bukan sekadar menyediakan kediaman tetapi satu penyelesaian menyeluruh yang menekankan keselesaan, keselamatan dan nilai komuniti.

“Ia bukan projek biasa. Kita bukan hanya sediakan rumah, tapi satu persekitaran yang selesa dan menyeluruh, dekat dengan sekolah, masjid, taman permainan dan gimnasium. Ia adalah kota moden berteraskan konsep MADANI yang sarat nilai budaya dan rohani,” katanya.

Selain itu, beliau menggariskan bahawa konsep Kota MADANI turut mengangkat nilai budaya dan jati diri seperti yang digagaskan oleh sejarawan Islam, Ibnu Khaldun.

“Kota yang hebat bukan sekadar menara pencakar langit, tetapi yang mencerminkan budaya, sejarah dan kekuatan masyarakatnya. Bandar moden yang tandus budaya (culturally barren) tidak akan mampu membina semangat kebersamaan,” katanya.

Anwar juga menyangkal tuduhan bahawa gagasan MADANI hanya bersifat populis menjelang pilihan raya.

“Saya tidak mahu budaya politik dua bulan sebelum pilihan raya, cium bayi, makan di warung. Sejak awal jadi Perdana Menteri, saya konsisten turun padang setiap minggu, makan dan berbual dengan rakyat.

“Kita boleh bina menara seperti Merdeka 118, tapi jangan lupa 80 peratus rakyat makan di gerai dan warung. Mengapa tidak kita bangunkan warung-warung ini dengan baik?” soalnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga serius dalam menangani dan menyelesaikan isu kuarters rosak yang membelenggu penjawat awam selama ini.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hampir 98 peratus unit kuarters yang rosak dibaik pulih dan kini dihuni semula tapi kita tahu itu belum cukup kerana masih ada ribuan lagi yang menunggu giliran mendapatkan kuarters.

“Jadi, jangan kita benarkan usaha baik ini dijadikan bahan politik murahan. Ini hak penjawat awam yang berkorban demi negara,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa jika pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan menerima sambutan baik, beliau sendiri akan membawa cadangan perluasan projek tersebut ke Jemaah Menteri untuk disegerakan.

Projek Kota MADANI yang dianggarkan bernilai RM4 bilion akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Build, Lease, Maintain and Transfer (BLMT), tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Pembangunan itu bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, serta pelbagai kemudahan komuniti seperti sekolah menegak, klinik kesihatan, balai polis, balai bomba, masjid, institusi TVET dan pusat kewangan.

Ia turut menampilkan integrasi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar, serta sistem mobiliti hijau dan direka dengan unsur seni bina budaya tempatan bagi mengekalkan identiti warisan negara. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas