LORONG yang memisahkan bahagian belakang dua barisan rumah di kawasan perumahan bukan diwujudkan untuk suka-suka atau semata-mata kerana mahu mengadakan kawasan lapang di belakang rumah.
Sebaliknya ia adalah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai memenuhi syarat kebenaran pembinaan. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua pemaju perumahan tidak kira di mana projek pembinaan dijalankan.
Lorong belakang diperlukan terutama untuk tujuan kecemasan, misalnya jika berlaku kebakaran. Laluan ini memudahkan pergerakan pasukan bomba memadam api di samping melakukan kerja-kerja menyelamat penghuni terlibat.
Selain itu, lorong ini bertujuan memudahkan para pekerja penyelenggaraan menjalankan tugas.
Namun ramai penghuni rumah menjadikan kawasan tersebut bagai milik sendiri walaupun tahu tujuan sebenar laluan itu diwujudkan.
Mereka sesuka hati mewujudkan halangan antaranya meletakkan pasu bunga, menanam pokok atau menghumban barang-barang terpakai.
Perlukah menunggu sehingga terkena batang hidung sendiri, misalnya rumah terbakar dan bomba tidak boleh masuk, baru hendak sedar?
Diharapkan pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memantau kawasan perumahan di bandar raya. Menghalang laluan sesuka hati. Ambil tindakan tegas sebagai pengajaran dan ingatan.