PERBELANJAAN lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa di samping mengambil pendekatan berhemah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, bagi tempoh November 2022 sehingga Oktober ini, Perdana Menteri telah terlibat dalam 39 lawatan rasmi dan lawatan kerja ke 22 buah negara.
Katanya, ia melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM13.7 juta.
Walau bagaimanapun jelasnya, jumlah yang dibelanjakan setakat ini adalah wajar dan berpatutan jika mengambil kira faedah yang diperoleh oleh negara berdasarkan jumlah pelaburan asing yang menyatakan minat dan berpotensi untuk direalisasikan.
“Hasil lawatan rasmi Perdana Menteri ke beberapa buah negara berjaya menjana nilai potensi pelaburan berjumlah RM353.6 bilion pada 2023.
“Dari Januari sehingga Oktober ini, nilai potensi pelaburan adalah berjumlah RM82.6 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan butiran senarai lawatan ke luar negara serta kos perbelanjaan sepanjang lawatan berkenaan.
Zaliha berkata, antara negara yang dilawati Perdana Menteri dan delegasi kerajaan ialah Arab Saudi, Australia, Bangladesh, Brunei, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir, Pakistan, Qatar, Russia, Laos, China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan dan Vietnam.
“Setiap lawatan menyasarkan output yang maksimum dengan mengguna pakai kadar peraturan yang berkuat kuasa dan perbelanjaan yang optimum.
“Antara komitmen pelaburan yang berjaya dihasilkan daripada Misi Penggalakan Pelaburan sepanjang tempoh ini adalah merangkumi sektor Ekonomi Digital (Pusat Data), Elektrik dan Elektronik (Semikonduktor) dan Kimia (Petrokimia dan Produk Kimia),” katanya.
Beliau menambah, tujuan lawatan Perdana Menteri antara lain adalah bagi mengerat dan menyemarakkan hubungan diplomatik serta kerjasama dengan negara-negara terlibat termasuk meneroka inisiatif baharu bagi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-negara luar.
“Di samping itu, Perdana Menteri menghadiri persidangan dan mesyuarat berjadual di peringkat antarabangsa yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia,” katanya. – WILAYAHKU