KOPERASI Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) mencipta sejarah apabila mengumumkan dividen tertinggi sejak penubuhannya 97 tahun lalu dengan keuntungan sebanyak RM50.14 juta.
Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPDRM, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan bahawa kadar dividen bagi tahun kewangan 2024 ialah 5.8 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus atas modal syer, melibatkan jumlah agihan sebanyak RM36.14 juta.
“Ini merupakan peningkatan berbanding tahun 2023 – masing-masing naik 0.3 perarus dan 2.2 peratus.
“Sepanjang hampir satu abad, inilah julung kalinya KPDRM mengagihkan dividen sebesar ini. Ia cerminan kukuh kepercayaan anggota terhadap pentadbiran dan prestasi koperasi,” katanya dalam ucapannya di Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Razaruddin, laporan kewangan turut menunjukkan bahawa KPDRM mencatatkan keuntungan bersih RM50.14 juta pada 2024, berbanding RM45.02 juta pada 2023.
“Nilai aset terkumpul meningkat kepada RM1.134 bilion, meletakkan koperasi ini dalam kategori koperasi premier negara,” katanya.
Beliau berkata keanggotaan KPDRM juga mencatat peningkatan memberangsangkan dengan 119,922 ahli direkodkan pada 2024, bertambah sebanyak 5,314 daripada tahun sebelumnya.
“Modal yuran meningkat kepada RM586.6 juta, manakala modal syer melonjak 11 peratus kepada RM23.04 juta,” katanya.
Menurut Razarudin, KPDRM kini memiliki sembilan cawangan Ar-Rahnu di Lembah Klang yang menjadi antara penyumbang utama prestasi koperasi. Jumlah pembiayaan Ar-Rahnu melonjak kepada RM168.8 juta, naik ketara daripada RM65.7 juta tahun sebelumnya. Hasil pendapatan produk ini turut meningkat dari RM2.93 juta kepada RM6.73 juta.
Sementara itu, inisiatif perlindungan sosial melalui kerjasama dengan syarikat takaful menyaksikan dua produk diperkenalkan: Takaful Kelompok dan Takaful Perubatan. Sehingga Disember 2024, keahlian bagi Takaful Kelompok mencatat 112,156 orang (200,346 unit) manakala Takaful Perubatan merekodkan 17,022 ahli.
Razarudin turut mengemukakan tiga permintaan utama kepada Perdana Menteri, Datum Seri Anwar Ibrahim, demi memperkukuh kebajikan dan jaringan ekonomi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, tiga bentuk sokongan strategik daripada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, bagi membantu pengukuhan struktur dan operasi koperasi iaituGeran Khas Perlindungan Takaful Anggota PDRM bagi menampung caruman minima dua unit (RM264 setahun) Takaful Kelompok untuk setiap anggota, memandangkan tugasan mereka berisiko tinggi.
“Saya juga memohon Penganugerahan kontrak pembinaan IPK Kelantan dan pembekalan logistik PDRM masing-masing kepada KOP Construction Sdn Bhd dan KOP Tradtech Sdn Bhd serta KOP Logistic Distribution Sdn Bhd, sebagai langkah menjamin kualiti perolehan sambil memulangkan keuntungan kepada KPDRM.
“Selain itu, rayuan pengurangan bayaran sewa dan hapus kira hutang Kolej UNIKOP Cyberjaya kepada Cyberview Sdn Bhd bagi menyokong matlamat menjadikan UNIKOP sebagai universiti kepolisan dan keselamatan unggul di Asia Tenggara,” katanya.
Razarudin menyatakan bahawa KPDRM kini bersedia untuk melangkah lebih jauh dengan sokongan kerajaan. Beliau menyeru Ahli Lembaga Koperasi dan pengurusan agar kekal berintegriti dalam memperkasa pembangunan koperasi.
“Bersama semangat Malaysia MADANI, kita bukan sahaja mahu membina kekuatan ekonomi koperasi, tetapi juga menjadikan KPDRM sebagai pelindung kebajikan, rakan strategik kerajaan dan pencetus pertumbuhan ekonomi yang lestari,” katanya.
Mesyuarat kali ke-90 ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan wakil-wakil tertinggi kementerian serta agensi berkaitan, memperlihatkan komitmen bersama ke arah pengukuhan ekosistem koperasi keselamatan negara.-WILAYAHKU