PENGHUJUNG tahun 2021 bukanlah satu pengalaman manis yang dapat disimpan sebagai kenangan sebaliknya ia membawa kepada kesedihan dan kesukaran buat seluruh rakyat Malaysia apabila negara dilanda banjir berterusan semenjak 18 Disember tahun lalu.
Lebih memilukan apabila musibah ini telah menyebabkan banyak jalan raya terputus akibat arus air banjir serta memusnahkan rumah yang mengamit 1001 memori bersama keluarga, kenderaan termasuk barangan keperluan mereka.
Rentetan daripada kejadian yang sedang berlaku ini, penulis berpeluang mengikuti konvoi bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meninjau keadaan mangsa banjir di Taman Makmur Jaya, Karak, Pahang baru-baru ini.
Sepanjang perjalanan di laluan Karak itu, penulis sayu dengan keadaan kawasan sekitar tersebut apabila banyak timbunan kayu-kayan berselerak akibat runtuhan tanah bukit ketika hujan lebat.
Destinasi pertama kami adalah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Karak di mana taklimat ringkas diberikan kepada Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengenai perkembangan terbaru operasi pembersihan pasca banjir di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Selepas selesai taklimat, kami bergerak menuju ke kawasan perumahan Taman Makmur Jaya untuk misi memberi bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir. Kenderaaan yang membawa Menteri Wilayah Persekutuan diserbu oleh penduduk sebaik sahaja memasuki kawasan itu.
Jelas terpancar wajah kegembiraan mangsa-mangsa apabila menerima kunjungan dan sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensi-agensi terlibat.
Tepat pukul 11 malam, konvoi ke Karak, Pahang beransur pulang dengan keadaan hujan lebat bercampur debu, jalan gelap serta berliku menyukarkan lagi pemanduan.
Keadaan di Pahang, rata-rata rumah mempunyai kesan air lumpur setinggi paras bumbung, kawasan perumahan pula dipenuhi lumpur tebal serta longokan sampah yang memenuhi bahu jalan menunjukkan kawasan di sana teruk terjejas dengan bah yang melanda.
Keperitan yang dialami, sukar digambarkan meskipun senyuman terlakar di wajah mereka bak kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. – WILAYAHKU