KONTROVERSI hutang Mara bernilai hampir sejuta menyebabkan beberapa jenama yang sebelum ini berhasrat untuk berkolaborasi dengan pelakon Rozita Che Ta tiba-tiba berdiam diri.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, berkata sebelum ini beberapa jenama menunjukkan minat untuk bekerjasama dengannya tetapi selepas kontroversi itu menjadi perhatian ramai, dia tidak lagi menerima khabar berita dari jenama-jenama berkenaan.
Bagaimanapun, pelakon berusia 52 tahun itu meluahkan kesyukuran apabila jenama terkenal Ariani Luxe sanggup mengenepikan kontroversi membabitkannya sebaliknya sudi melantiknya sebagai duta.
“Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana antara ramai-ramai selebriti, saya dipilih menjadi duta tudung eksklusif Ariani Luxe.
“Saya berharap kerjasama ini dapat membawa impak rezeki yang lebih luas di saat banyak jenama menarik diri kerana isu panas mengaitkan diri saya sebelum ini,” katanya yang ditemui pada majlis pertunjukkan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana, di sini, petang tadi
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip, berkata dia enggan mengulas mengenai kontroversi membabitkan pelakon Kiah Pekasam itu tetapi tertarik melamar Che Ta kerana komitmen yang ditunjukan pelakon itu.
Katanya hubungan baik yang sudah terjalin sejak 2007 mendorongnya tetap memilih selebriti terbabit sebagai duta Luxe Ariani.
“Saya mengenali Che Tan dari zaman Jakel lagi, pemilihannya bukan dibuat atas dasar kasihan atau ingin membantunya.
“Tetapi sebagai duta, Che Ta memiliki pakej lengkap iaitu seorang yang sangat komited, berdedikasi, disiplin, tidak berkira dan suka membantu.
“Kualiti itu yang membuatkan kami tertarik melantiknya sebagai duta. Saya tidak mahu komen soal ingin membantu kerana masing-masing ada masalah sendiri,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bagaimanapu aktres itu dipercayai sudah membuat pembayaran sebanyak RM 550,000.
Selain Che Ta, Ariani terus mengekalkan Datin Lisa Surihani, Bella Dailya dan Uyaina Arshad sebagai duta. – WILAYAHKU