Berita

Kontraktor tempatan perlu diberi keutamaan

AHMAD (dua dari kiri) menyampaikan replika Penyerahan Projek Menaiktaraf Ruang Sedia kepada Farmasi Steril Hospital Labuan, hari ini
- Diterbit 22 Januari 2024 3:39 PM MYT

KONTRAKTOR tempatan yang mempunyai daya saing perlu diberikan keutamaan dalam projek-projek Kerajaan di pulau ini,” kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, perkara itu amat penting kerana kontraktor tempatan lebih memahami tentang selok belok bekalan bahan binaan dan harga.

Jelasnya, projek yang ada di Labuan memerlukan bekalan binaan daripada Sabah.

“Disebabkan ada bahan binaan tidak didapati di Labuan, kontraktor terpaksa mendapatkan bekalan itu daripada Sabah dan ini menyebabkan peningkatan kos.

“Akibatnya, perbelanjaan projek di Labuan dilaporkan hanya 30 peratus lebih tinggi daripada negeri-negeri lain.

“Dengan memberikan keutamaan kepada kontraktor tempatan yang mempunyai stabiliti dari segi operasi, kewangan dan prestasi yang baik perlu diberikan keutamaan. Ini juga bagi memberikan kelestarian kepada mereka dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Ruang Sedia Kepada Farmasi Steril di Hospital Labuan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Mohd Faizul Ali Hanafiah mengakui terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi bagi projek-projek pembinaan di pulau itu.

“Isu pertamanya adalah cabaran isu logistik.

“Semua bahan binaan, bekalan kelengkapan, mesin dan jentera termasuk tenaga mahir dan pekerja adalah kebanyakannya diperolehi daripada Tanah besar Sabah, Sarawak mahupun daripada Semenanjung Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas