Berita

Konten media sosial: Perlu ada sekatan, pemantauan ketat

- Diterbit 22 Mei 2025 5:43 PM MYT

KEWUJUDAN platform media sosial mempunyai kebaikan dan tidak ketinggalan keburukan sekiranya tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Media sosial seperti Facebook, Instagram, X dan terkini Threads memberi ruang kepada pemilik akaun untuk mengekspresikan apa sahaja yang terlintas di fikiran si pemilik akaun umpama sebuah diari digital.

Namun, ada yang menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan ketidakpuasan hati sehingga tercetusnya perbalahan di antara individu yang saling tidak mengenali demi menegakkan pendapat masing-masing.

Paling dibimbangi hantaran berupa provokasi terutama menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh menjurus kepada perbalahan lebih besar hingga mungkin boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berkata perlu ada sekatan serta pemantauan yang ketat dan serius bagi mengekang kelantangan pengguna media sosial lebih-lebih lagi menyentuh isu 3R.

SHAHUL HAMID

Menurut Shahul ketiga-tiga perkara itu sangat penting kerana boleh menimbulkan kerisauan dan kebimbangan kepada rakyat, pada masa sama dikhuatiri boleh mencetuskan kemarahan dan rusuhan.

“Sekatan konten media sosial wajar dilaksanakan kerana kita bimbang dengan kebebasan sesetengah pemilik akaun yang bersikap tidak sensitif menulis apa saja termasuk menyentuh 3R. Impak yang sangat besar akan terjadi kepada masyarakat apabila media sosial terus dibanjiri hasutan berupa provokasi dan kebencian.

“Jika dilihat pemilik akaun media sosial kini terlalu bebas membuat ‘posting’ sehingga adakalanya mereka terlupa kelantangan itu mencetuskan kemarahan hingga boleh timbulkan kekacauan,” kata Shahul.

Justeru, Shahul berpendapat agar satu badan khas diwujudkan bagi memantau dan menyekat ‘posting’ berbaur provokasi, hasutan dan kebencian.

Katanya tindakan sewajarnya juga perlu diambil ke atas pemilik akaun yang melakukan provokasi sebelum perkara lebih buruk berlaku.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu ada satu badan untuk memantau dan sekiranya ada hantaran yang boleh menimbulkan masalah, padamkan terus dan perlu disusuli dengan tindakan sewajarnya sebelum perkara lebih buruk berlaku.

“Sekatan bukanlah untuk menghalang rakyat daripada bersuara, pemilik akaun masih boleh memuat naik hantaran tetapi bukan dengan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi menyentuh 3R hingga boleh mengancam keselamatan.

“Pengguna media sosial juga perlu bertanggungjawab menggunakan medium itu dengan bijak supaya tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya kepada Wilayahku.

Jelasnya badan atau jawatankuasa khas yang memantau aktiviti pengguna media sosial harus disegerakan kerana bimbang menjadi tidak terkawal hingga boleh berlakunya rusuhan.

“Kita bimbang insiden 13 Mei berulang kembali disebabkan kelantangan pemilik-pemilik akaun media sosial. Jadi sekatan dan pemantauan perlu dilaksanakan serta disegerakan bagi mengelak daripada timbulnya kontroversi dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas