Berita

Konten media sosial: Bimbang situasi jadi lebih teruk

- Diterbit 22 Mei 2025 6:16 PM MYT

BIARPUN telah diberi peringatan berkali-kali oleh pihak berwajib namun ia tidak memberi kesan kepada warganet yang dilihat semakin galak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial.

Malah mutakhir ini ia terus dijadikan bahan provokasi untuk menaikkan kemarahan orang ramai sehingga mencetuskan perbalahan.
Tidak keterlaluan juga rata-rata golongan yang tidak bertanggungjawab ini dilihat sengaja memainkan isu sensitif termasuk 3R semata-mata untuk meraih perhatian ramai sekali gus mengejar populariti di media sosial.

Tinjauan Wilayahku baru-baru ini mendapati rata-rata orang ramai meluahkan rasa bimbang dengan kebebasan bersuara di media sosial yang mampu mempengaruhi dan merubah situasi menjadi lebih buruk.

MOHAMMED FAZAL

Menurut warga India, Mohammed Fazal Ahmed, 31, masyarakat di Malaysia seharusnya tidak menimbulkan sebarang provokasi dan perlu lebih bersyukur hidup di negara aman damai yang terdiri daripada berbilang kaum.

“Jadikan kes-kes Islamofobia di negara India contohnya sebagai pengajaran untuk menjaga adab di media sosial supaya isu-isu sensitif tidak sewenang-wenangnya disentuh untuk memburukkan keadaan

“Di sana (India) di sebahagian tempat, saya dapat lihat, akibat daripada tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab di media sosial mencetuskan provokasi telah menyebabkan masyarakat Islam dibenci.

“Mereka kebanyakannya akan mempercayai apa yang ditulis bulat-bulat menyebabkan setiap tahun situasi Islamofobia semakin membimbangkan,” jelas beliau.

Tambahnya sikap toleransi adalah perkara paling utama yang perlu ada demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

“Jangan sentuh isu 3R kerana ia sangatlah bahaya dan boleh mendatangkan situasi buruk serta tidak mustahil boleh menyebabkan pertumpahan darah kerana kelantangan berbicara tanpa memikirkan perasaan orang lain,” tegasnya.

Memberi pandangan sama, Zurawati Zainal Abidin, 41, berkata isu agama yang dimainkan sejak kebelakangan ini telah mencetuskan pelbagai reaksi yang negatif dalam kalangan masyarakat.

“Saya lihat warganet gemar berkongsi perkara-perkara yang sensitif semata-mata untuk meraih perhatian. Bermula dari situlah boleh mencetuskan pergaduhan.

“Seharusnya sesiapa sahaja perlu menjaga batasan, jangan pandang remeh hal ini. Jadilah seorang yang peka dan hormat atas sensitiviti orang lain.

“Takkanlah kita nak lihat peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berulang sekali lagi. Tragedi ngeri tersebut meragut banyak nyawa serta harta benda.

“Perpaduan antara kaum adalah sangat penting dan sematkan rasa bersyukur hidup di bumi Malaysia. Dalam masa sama, bagi saya pendidikan bukan sahaja perlu di sekolah tetapi ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting. Didik anak supaya kenal dan hormat kawan-kawan mereka daripada berbilang kaum,” jelasnya.

NURSARAH

Sementara itu, bagi Nursarah Susanna Norarman, 26, pula, memandangkan isu ini semakin berleluasa, pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu mempergiatkan lagi program berbentuk perpaduan mahupun kempen untuk kesedaran masyarakat.

“Namun seiring langkah tersebut, tindakan lebih keras perlu dijalankan untuk menjadi pengajaran kepada orang lain. Sekurang-kurangnya mereka akan berfikir dua kali sebelum membuat hantaran.

“Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing menggembleng tenaga mungkin ia lebih berhasil daripada menuding jari menyalahkan antara satu sama lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas