VOKALIS kumpulan Setia Band, Charly Van Houten tidak bercadang menambah hari Konsert Muzik Harmony Setia meskipun jika ada permintaan.
Menurut Charly, ini bagi menjaga momentum persembahannya.
“Saya menolak jika ada permintaan untuk menambah hari konsert jika tiket habis dijual.
“Saya mahu konsert pada hari itu menjadi yang sangat istimewa, jadi tidak mahu ada hari kedua.
“Di samping itu saya juga mahu menjaga momentum persembahan agar tidak terjejas. Kalau diadakan pada hari kedua, pastinya kekuatan tenaga saya tidak lagi sama dengan hari pertama,” katanya.
Sementara itu, tiket konsert menyaksikan konsert kumpulan Setia itu ditawarkan pada harga Rahmah agar lebih ramai peminat dapat menyaksikan konsert yang bakal berlangsung pada 7 Februari depan bertempat di Megastar Arena Kuala Lumpur.
Menurut penganjur konsert biarpun harga ditawarkan rendah, tetapi mereka tetap menjaga nilai eksklusif Charly.
“Kami memang mahu semua peminat dapat menonton Charly kerana itu harga tiket ditawarkan pada harga mampu milik.
“Setakat ini sebanyak 40 peratus tiket sudah terjual dan kami yakin tiket akan habis dijual,”!katanya.
Harga tiket bagi menyaksikan Konsert Muzik Harmony Setia dijual pada harga serendah RM89 hingga RM199. – WILAYAHKU