Berita

Konsert maya ITSU 360 Care U kumpul dana untuk frontliners

||
- Diterbit 15 Februari 2021 6:48 AM MYT

BAGI mengumpul dana untuk membantu para petugas barisan hadapan yang terkesan situasi pandemik, satu konsert virtual, ITSU 360 Care U akan distrim secara langsung dari Mega Star Arena, pukul 8 malam pada 20 Februari ini.

Konsert yang menggunakan kamera 360-darjah yang unik dan pertama kali diperkenalkan di Malaysia itu mensasarkan sebanyak RM500,000.

Acara gilang-gemilang ini bakal menampilkan artis popular iaitu Ella Aminuddin, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Naim Daniel, Ernie Zakri, Ariff Bahran, Dolla dan Syamel.

Orang ramai boleh menonton konsert secara langsung ini menerusi laman YouTube ITSU MY, Facebook ITSU WORLD, Facebook ITSU Indonesia, Facebook Amazing Creative Group, Facebook HK ATV, Facebook Star Planet dan juga Bigo Live App. 

Namun begitu, efek kamera 360-darjah hanya boleh dinikmati di laman YouTube ITSU MY sahaja.

Orang ramai boleh menderma dengan mengimbas kod QR Touch n Go ewallet yang akan dipaparkan semasa siaran langsung konsert tersebut. Konsert ini diharap dapat menggalakkan orang ramai kekal tinggal di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Pengarah Jualan Serantau dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat ITSU, Deric Mun Hoong Kit, berkata, “konsert maya secara langsung ITSU 360 Care U adalah kombinasi pelancaran kempen baharu ITSU 360 dan konsert amal.

“Ia boleh disaksikan dengan percuma oleh semua. Kempen ini bertujuan untuk menyebarkan perasaan prihatin dan penyayang di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya untuk pejuang barisan hadapan,” katanya.

Konsert ini akan menampilkan sebuah lagu ikonik dwi-bahasa – Standing In The Eyes Of The World yang bakal didendangkan oleh penyanyi asalnya, ratu rock Malaysia, Ella.

Lagu ini digubah oleh Datuk Wah Idris, graduan Berklee College of Music, Boston, lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, dan penyanyi utama kumpulan Bread, David Gates. Ia telah dirakamkan oleh Ella bagi Temasya Sukan Komanwel 1998.

“Kami merasa bangga kerana dapat menjemput penyanyi asal lagu tersebut, Ella untuk menyanyikan semula lagu di konsert ini bersama tujuh penyanyi muda bagi meniupkan semangat yang optimistik kepada semua penonton nanti.

“Dalam masa yang sama, kami ingin menghargai semua pejuang barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus untuk menangani situasi pandamik ini. Kami berharap dapat mengumpulkan dana semasa konsert diadakan dan 100% hasil sumbangan orang ramai bakal didermakan kepada pejuang barisan hadapan,” ujarnya lagi.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan konsert “ITSU 360 Care U” sambil menyumbang kepada dana bantuan pejuang barisan hadapan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman-laman Facebook ITSU WORLD, ITSU Indonesia, Amazing Creative Group, Star Planet dan Bigo Live App. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas